Sering dilamar untuk menjadi isteri kedua, usahawan kosmetik yang dikenali sebagai Joy Revfa sama sekali tidak berminat untuk berkongsi kasih dengan mana-mana wanita walaupun dia berstatus ibu tunggal.
Menerusi Instagram, pemilik nama sebenar Siti Arifah Amin berkata dia bukanlah individu yang suka merampas kebahagiaan orang lain apatah lagi menjadi orang ketiga yang menjadi punca keruntuhan rumahtangga pasangan suami isteri.
"Tak payah risau. Saya tak akan ganggu suami, tunang, boyfriend orang. Tak suka berebut atau kongsi-kongsi ni. Sesiapa yang rapat dengan saya, kenal saya macam mana.
"Kawan-kawan saya kebanyakannya 80 peratus semua suami orang tapi isteri-isteri mereka semua tahu saya ni jenis yang tak akan rampas atau menggedik atau goda suami orang," coretnya.
Kata Joy, ibunya juga selalu menasihati dan mengingatkannya agar tidak mengganggu mahligai bahagia pasangan lain. Oleh itu, sesiapa yang berniat untuk menjadikannya sebagai isteri kedua melupakan sahaja hasrat mereka.
"Tak payahlah nak propose nak jadikan saya bini kedua, ketiga, keempat atau kelima. Ibu pun selalu pesan, jangan ganggu rumahtangga orang lain.
"Daripada prning kepala berebut. Lebih baik pilih yang single dan tak bermasalah," tulisnya.
Sekadar rekod, Joy pernah berkahwin dengan Hafiz pada 1 Mei 2017.
Bagaimanapun, perkahwinan mereka tidak berpanjangan dan disahkan bercerai talak satu pada 25 Oktober 2017.
Terdahulu, Joy pernah mendirikan rumahtangga dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus. -CARI
|