Nama pengacara dan penyampai berita, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan mulai mencuri tumpuan apabila wajahnya dikatakan persis seperti Noor Neelofa. Bukan itu sahaja, suaranya juga seakan-akan sama seperti selebriti terkenal itu.
Sejak dari itulah Hawa mempunyai peminat tersendiri dan menjadi perhatian netizen. Setiap gerak geri termasuklah penampilannya turut diperhatikan dengan tajam. Sekiranya tindakan atau pemakaiannya ada yang tidak kena, maka netizen akan 'berkampung' di ruangan komen media sosialnya untuk memberikan teguran.
Memuat naik potongan video di TikTok memaparkan Hawa sedang meluangkan masa bersama rakan-rakan sambil berkaraoke rancak menyanyikan lagu Budak Flat yang dipopularkan oleh Aman Ra.
Memakai jaket kulit dipadankan dengan seluar sendat berwarna hitam, bukan aktiviti itu sahaja yang dikritik oleh netizen tetapi pemilihan pakaian Hawa turut dikecam kerana tidak sesuai dengan penampilannya yang bertudung.
Menjengah di ruangan komen, kelihatan beberapa netizen yang menyebut nama Ustaz Wadi Anuar serta tajuk ceramahnya yang berjudul 'Kamu Nak Cabar Siapa?' serta menasihati wanita itu agar menutup auratnya dengan sempurna.
Sebagai seorang individu yang berbakat besar dalam bidang penyampaian berita dan pengacaraan, rugi seandainya dia mencemarkan kebolehannya itu dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.
Sementara itu, memetik laporan mStar, wanita berusia 27 tahun itu tampil berterima kasih atas perhatian yang diberikan serta mengambil iktibar daripada semua teguran yang diberikan.
"Mungkin orang biasa melihat penampilan saya di kaca televisyen sebagai penyampai berita. Apa yang saya pakai dalam video adalah gaya kasual sendiri yang biasa saya pakai apabila keluar.
"Terima kasih atas komen yang diberikan. Saya tak marah dan ambil iktibar supaya menjadi lebih baik di masa akan datang. Saya juga mohon maaf sekiranya video berkenaan menyebabkan mana-mana pihak tersinggung," katanya. -CARI
|