Puluhan ribu orang awam memenuhi jalanan di Bandung semalam bagi memberi penghormatan kepada anak Gabenor Bandung yang ditemukan mati selepas lemas di sungai di Switzerland minggu lalu.
Kehilangan Emmeril "Eril" Kahn Mumtadz bulan lalu mendapat perhatian negara dengan rakyat Indonesia menyiarkan imej dan video dalam talian anak sulung Ridwan Kamil, gabenor wilayah terpadat penduduk Indonesia di Jawa Barat.
![](https://uf.cari.com.my/forumx/mforum/portal/202206/14/152816xin5nrjnjrjzqxfl.jpg) Foto: AFP
Lelaki berusia 22 tahun itu hilang di Sungai Aare di ibu negara Switzerland, Bern pada 26 Mei ketika berenang bersama kakak dan rakannya.
Pihak berkuasa Switzerland telah menjumpai mayatnya di empangan selepas pencarian selama 12 hari dan menghantarnya pulang ke Indonesia pada Ahad.
Orang ramai berkumpul pada Isnin di Bandung, ibu kota Jawa Barat, untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anak ahli politik itu menjelang siaran pengebumian di televisyen nasional, di mana orang ramai yang menangis teresak-esak dilihat melambai kepada keluarganya ketika mereka pergi ke tanah perkuburan.
Beberapa orang yang berkabung tiba dari pulau lain di Indonesia untuk memberi penghormatan, lapor media tempatan.
"Saya percaya Eril sangat gembira sekarang dan dia aman. Kami juga aman dan kami telah menerima apa yang berlaku," kata bapanya kepada pemberita di luar tanah perkuburan.
Kamil ialah bekas datuk bandar Bandung dan salah seorang ahli politik paling popular di Indonesia, sering dinamakan sebagai salah seorang tokoh yang dijangka bertanding dalam pilihan raya presiden 2024.
![](https://uf.cari.com.my/forumx/mforum/portal/202206/14/152817itvo1yoprotyty48.jpg) Foto: https://www.celebrities.id
Presiden Joko Widodo pada Jumaat berkata beliau menghubungi gabenor untuk menyampaikan "takziah sedalam-dalamnya".
Menteri kabinet dan ahli politik turut memberi penghormatan, menyambut jenazah anaknya setibanya di Jakarta dan bertemu Kamil sebelum pengebumian.
"Eril seorang yang baik. Insya-Allah, Eril akan diberikan tempat terbaik di sisi Tuhan," Ganjar Pranowo, gabenor Jawa Tengah menulis di Twitter.
Sumber: Harian Metro |