BAYAN LEPAS: "Tiga hari lalu, saya bertanya kepada suami nama bayi lelaki kami yang dijangka lahir 27 Julai ini, tetapi dia beritahu biar anak lahir dulu," kata Norhanazielah Hanazi, 28, isteri kepada Allahyarham Muhamad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25, yang maut dalam kemalangan membabitkan motosikal di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, awal pagi semalam.
Norhanazielah yang juga suri rumah berkata, suaminya memaklumkan nama bayi ketiga mereka itu masih belum dipilih dan hanya akan berbuat demikian selepas dia selamat melahirkan anak lelaki pertama itu.
Katanya, arwah suaminya bekerja sebagai penghantar barang dan ejen insurans selepas diberhentikan kerja sebagai pembantu kedai berikutan pandemik COVID-19.
"Arwah suami teruja dan tidak sabar menyambut kelahiran bayi lelaki kami, malah dia turut membeli pakaian bayi.
"Kami ada dua cahaya mata perempuan, sudah tentu dia tidak sabar menimang bayi lelaki pula. Malah, arwah baru saja terima gaji dan dia berjanji mahu membawa saya membeli kelengkapan bersalin, semalam, namun tidak sangka dia maut dalam nahas itu.
"Saya difahamkan ketika kejadian, dia berhenti di bahu jalan bagi membantu kemalangan kecil sebelum dirempuh penunggang motosikal lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bayan Baru, di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan tiga penunggang motosikal maut di lokasi nahas, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang, manakala tiga lagi sedang dirawat di hospital sama.
Selain Muhamad Eizreel, mangsa yang maut ialah Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19; Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, dan Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata kemalangan itu dipercayai berpunca daripada beberapa motosikal disyaki menyertai aktiviti lumba haram.
Katanya, beberapa penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.
Mengulas lanjut, Norhanazielah berkata, arwah suaminya tidak meninggalkan pesanan, namun menunjukkan sikap penyayang dan mahu mengambil cuti bagi membawa keluarga bersiar-siar.
Katanya, arwah memang ramai kenalan berikutan sikapnya yang kelakar dan gemar mengusik.
"Saya akan pulang bersalin di kampung di Kuala Kangsar, Perak dan berpantang di sana serta akan menjaga tiga anak termasuk yang akan lahir dengan sebaiknya.
"Saya belum ada perancangan selepas itu dan biarlah masa yang menentukan, cuma diharap orang ramai berhenti membuat tuduhan serta mendoakan semua mangsa yang terkorban nahas.
"Memang saya tersinggung dengan kecaman, tambahan pula keadaan saya yang sarat berbadan dua," katanya yang sudah lapan tahun berkahwin bersama Muhamad Eizreel.
Jenazah Muhamad Eizreel selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda di Sungai Ara, selepas solat Isyak malam tadi dan dihadiri kira-kira 200 kenalan termasuk ahli keluarga.