|
Penyu agar dilepaskan ke laut pada program pelepasan penyu anjuran Jabatan Perikanan Negeri Terengganu di Rantau Abang, Dungun, baru-baru ini. Gambar fail BERNAMA
KUALA NERUS: Unit Penyelidikan Penyu Laut (Seatru), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bercadang untuk memasang peranti satelit pada badan penyu, Oktober depan.
Ketua Makmal Penyelidikan Luar Penyu Laut, Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT, Dr Mohd Uzair Rusli, berkata tindakan itu bagi membolehkan pergerakan haiwan berkenaan dipantau setiap hari dalam tempoh enam bulan.
Katanya, ia antara usaha dilakukan bagi menarik minat dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan hidupan laut, terutama penyu.
"Jika pemasangan peranti satelit pada badan penyu berjaya dilakukan, kita dapat berkongsi data pergerakan haiwan itu secara langsung kepada masyarakat melalui siaran berita atau dokumentari menerusi media.
"Kaedah ini juga dijangka mampu menarik minat masyarakat untuk mengikuti perkembangan haiwan, terutama selepas dilepaskan ke laut," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan pembiayaan penyelidikan marin oleh RHB Islamic Bank Berhad.
Majlis penyerahan replika cek bernilai RM25,000 disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali kepada Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Uzair berkata, penandaan kepada badan penyu bukannya kali pertama dilakukan, malah sehingga kini sebanyak 150 pemasangan peranti satelit dilakukan ke atas badan penyu di seluruh negara.
Bagaimanapun, katanya, pemasangan peranti satelit yang akan dilakukan Oktober depan berbeza apabila pendekatan perkongsian jejak penyu akan dilakukan secara harian di media massa.
"Sebagai projek percubaan, hanya seekor penyu berusia melebihi 20 tahun akan dipasang dengan peranti satelit untuk dilepaskan ke habitat asal.
"Jika ia berjaya memberi impak dan menarik minat orang ramai, kita bercadang untuk mendapatkan lebih banyak peranti satelit dan dipasang pada penyu dewasa betina untuk digunakan sebagai kajian," katanya.
Mengulas kemungkinan peranti satelit yang dipasang tercabut, Dr Mohd Uzair mengakui risiko kehilangan, terutama alat penjejak tercabut daripada karapas penyu tetap ada, tetapi bukan disebabkan menjadi mangsa kepada pemangsa, terutama ditelan ikan yang lebih besar.
"Peranti satelit yang dipasang hanya terhad kepada lokasi penyu dalam radius 10 kilometer," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... au-pergerakan-penyu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|