Washington: Susulan insiden melempang pelakon dan pelawak Chris Rock di pentas Anugerah Akademi (Oscar) ke-94 pada Mac lalu, bintang Hollywood, Will Smith sekali lagi tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pelawak itu.
Smith yang memuat naik video itu di YouTube miliknya, semalam berkata, dia sangat menyesal atas tindakannya itu dan ada menghubungi pelawak terbabit namun belum berjaya untuk mendamaikan persengketaan yang terjadi.
"Saya ada menghubungi Rock tapi mesej yang diterima memaklumkan dia belum bersedia untuk bercakap dengan saya dan akan menghubungi apabila dia bersedia nanti.
"Jadi di sini saya ingin memohon maaf. Kelakuan saya tidak boleh diterima dan saya sentiasa bersedia untuk bercakap dengan anda," katanya.
Will Smith
Menurut Smith, dia juga ingin memohon maaf kepada seluruh keluarga Rock.
"Saya ada menonton video yang dibuat oleh ibunya. Insiden itu adalah sesuatu yang saya tidak sedar dan fikir panjang sehingga saya menyakiti hati ramai orang pada waktu itu.
"Jadi saya ingin meminta maaf kepada ibu serta seluruh keluarga Rock terutama kepada Tony Rock (abang Rock). Kami mempunyai hubungan yang baik dan Tony Rock adalah rakan sejati saya. Apa yang berlaku mungkin tidak boleh diperbaiki," katanya.
Dalam masa sama, Smith mengakui kesal apabila sudah menyakiti ramai pihak dan berharap Rock akan menerima permohonan maafnya itu.
"Mengecewakan orang adalah trauma utama yang perlu saya tempuh. Saya benci ketika saya mengecewakan orang sehingga menyakiti hati mereka.
"Jika kamu dapat memaafkan saya berjanji kita akan berkawan lagi," katanya.
Pergeseran dua bintang Hollywood itu mula tercetus apabila Rock yang menjadi penyampai bagi kategori Dokumentari Terbaik, membuat lawak yang kurang disenangi mengenai penampilan isteri Smith, iaitu Jada Pinkett Smith yang berimej botak dengan menyamakannya seperti watak G.I Jane lakonan Demi Moore.
Secara tiba-tiba, Smith yang juga calon Anugerah Akademi ke-94, naik ke pentas lalu melempang Rock yang terkejut dan terpinga-pinga dengan aksi pelakon dan penerbit itu.
Sebaik menampar Rock, Smith kembali ke tempat duduk dan menjerit ke arah Rock meminta agar nama isterinya tidak disebut.