Georgetown: Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meminta umat Islam supaya tidak perlu memberi perhatian yang berlebihan tentang isu kedatangan Imam Mahadi.
Ia berikutan banyak dakwaan tentang kelahiran Imam Mahadi oleh pelbagai pihak sejak akhir-akhir ini, yang dibimbangi boleh mengelirukan masyarakat Islam di negara ini terutama individu dalam kalangan kurang cukup pengetahuan agama.
Wan Salim berkata, umat Islam masih memiliki dua sumber sahih bagi dijadikan pedoman dan panduan kehidupan iaitu al-Quran dan sunnah Nabawiyyah, maka berpegang kepada kedua-duanya sudah cukup bagi membangun kehidupan yang baik, maju dan mulia.
"Lazimnya kedatangan Imam Mahadi dikaitkan dengan harapan bagi memenuhi muka bumi ini dengan keadilan setelah ia diselubungi kezaliman.
"Dalam kalangan masyarakat Islam termasuk di Malaysia, kepercayaan tentang kelahiran Imam Mahadi ini bersumberkan puluhan hadis antaranya ada yang sahih, namun kebanyakannya adalah dha'if, " katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, dalil tentang kelahiran Imam Mahadi yang dinanti itu sering dijadikan objek perbincangan dalam kalangan ulama, namun tiada dalil yang menunjukkan kepada kemustahilannya.
Katanya, kemunculan Imam Mahadi boleh dipercayai, namun sesiapa yang tidak percaya tidaklah jatuh kafir.
"Pada pandangan saya umat Islam tidak perlu memberi perhatian berlebihan tentang isu ini dan mampu mengembalikan tamadun gemilang tanpa perlu menunggu kedatangan 'Sang Penyelamat' yang tidak diketahui secara pasti masa kemunculannya," katanya lagi.
Wan Salim berkata demikian berikutan laporan media susulan keputusan keputusan Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) yang menutup pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, di Kampung Batu 8 Labu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.