Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Kedah dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) menyiasat serta mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah bekalan air paip terputus yang dihadapi enam keluarga di Kampung Padang Durian, dekat daerah Pendang di sini.
Ia berikutan keluarga terbabit terpaksa menggunakan air telaga yang kotor dan berkelodak bagi kegunaan harian sejak sekian lama.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan mendapati air telaga yang digunakan penduduk kampung itu keruh dan berwarna kekuningan.
Katanya, keadaan itu menjadi lebih serius ketika hujan yang mana ia kelihatan seperti warna teh susu kerana dicemari sisa lumpur.
"CAP percaya jika masalah ini terus membelenggu kehidupan penduduk kampung itu, dibimbangi akan mengancam kesihatan mereka termasuk sisa racun dari kawasan sawah berdekatan yang mungkin menyerap masuk ke dalam telaga.
"Jadi, masalah ini perlu ditangani segera oleh Kerajaan Kedah dan SADA sebelum kejadian tidak diingini berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu penduduk, Siti Mariam Omar, 36, berkata, pakaian sekolah anaknya yang berwarna putih akan bertukar warna selepas dicuci menggunakan air telaga yang tercemar itu.
Katanya, bagi memasak dan minum pula, dia terpaksa menakung air telaga itu terlebih dulu supaya sisa kotoran mendap sebelum menggunakannya.
"Saya merayu supaya masalah ini diberi perhatian segera oleh pihak berwajib kerana penduduk kampung lain yang berhampiran sudah lama menikmati kemudahan bekalan air paip bagi kegunaan harian," katanya.
Ridzuan Morad, 52, pula mendakwa dia sudah membelanjakan lebih RM3,000 selepas tujuh pam air yang dibeli bagi mengepam air telaga di rumahnya mengalami kerosakan.
Katanya, masalah itu pernah diadukan penduduk kepada pihak berkenaan tetapi tidak ada tindakan yang diambil.