Georgetown: Semangat perpaduan dan kerjasama yang ditonjolkan sebahagian penduduk Pangsapuri Mutiara Heights, Jelutong di sini, ketika bersama-sama memasang bendera Jalur Gemilang di sekitar kawasan perumahan wajar dipuji.
Usaha itu diadakan sempena menyambut Bulan Kebangsaan yang membabitkan pemasangan kira-kira 1,000 Jalur Gemilang di sekitar perumahan itu sepanjang Ogos ini.
Pengerusi Persatuan Penduduk, Mohd Arshad Abdul Rahman berkata, aktiviti memasang bendera Malaysia itu dilakukan sejak semalam membabitkan keseluruhan pagar di sekitar kawasan perumahan.
Katanya, ia akan diteruskan setiap hari secara berperingkat mengikut kelapangan penduduk.
"Semalam, pemasangan Jalur Gemilang itu hanya membabitkan beberapa ahli jawatankuasa penduduk namun, hari ini seramai 15 penghuni tampil membantu dalam menjayakannya tanpa disuruh.
"Semangat begini yang kita mahukan dan yakin lebih ramai penduduk akan menyertai aktiviti ini demi menyemai semangat patriotik dalam diri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Arshad berkata, pihaknya juga akan mengedarkan Jalur Gemilang secara percuma kepada penduduk bagi dipasang di rumah masing-masing.
"Dijangka keseluruhan pemasangan Jalur Gemilang di perumahan ini akan siap tujuh hari sebelum Hari Kebangsaan," katanya lagi.
Sementara itu, penduduk, Zakaria Hussain, 66, pula berkata, dia melakukan aktiviti berkenaan secara sukarela berikutan berkelapangan pada waktu itu.
"Banyak aktiviti bersama tetangga yang tidak dapat dijalankan dalam tempoh dua tahun lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi inilah masanya kita semarakkan semula perpaduan dalam kalangan masyarakat.
"Meriah macam hari raya, sambil menghias bendera di parkir bertingkat perumahan ini dapat juga berbual dan bertanya khabar sesama jiran," katanya.
Bagi penduduk, Profesor Abdul Kadir Sheikh Othman, 66, pula berkata, dia terharu kerana kesemua rakan-rakannya bersepakat mahu membantu memasang bendera berkenaan.
"Mereka bawa semangat ini serta tunjukkan rasa cinta kepada negara dan diharap ia dapat menjadi contoh kepada kejiranan lain juga," katanya.