Lif Bailong di China, lif luar tertinggi di dunia membawa pelancong ke puncak setinggi 326 meter dalam masa 2 minit.
Lif Tertinggi Di Dunia, Bailong Elevator Tersedia Pemandangan Indah!
Lif, satu kemudahan yang kebanyakannya tersedia di bangunan tinggi untuk memudahkan pergerakan dari bawah naik ke atas dan sebaliknya. Biasanya lif dapat ditemui di rumah pangsa, pusat beli-belah, hotel dan lain-lain bangunan lebih dari 5 tingkat.
Namun begitu, tahukah anda di China terdapat satu lif luar bangunan yang tertinggi di dunia? Lif tersebut diberi nama Bailong Elevator dan ia terletak di tapak bersejarah di negara China, Zhangjiajie National Forest Park. Lif kaca itu boleh membawa penumpang hingga ke ketinggian 1,070 kaki ke atas gunung dengan pemandangan cukup menakjubkan.
Kredit Wonderful Engineering
Bailong Elevator ini mampu menarik lebih kurang 4 juta pelancong setiap tahun ke Hunan, China. Mengambil masa hanya 3 tahun untuk membinanya, jurutera yang membinanya mahukan lif tersebut dibina di luar bangunan dan dari bahan kaca bagi membolehkan pelawat melihat sendiri keindahan pemandangan terbentang di kawasan tersebut.
Kredit The Sun
Menariknya lif ini boleh membawa pelawat naik ke atas dalam masa hanya dua minit dengan pemandangan hutan dan gunung Zhangjiajie National Forest Park. Namun jika mahu naik ke atas dengan mendaki, tempoh masa diperlukan adalah tiga jam. Mana satu pilihan anda?
Bagi pelancong yang mahu menggunakan lif tersebut, mereka akan dikenakan bayaran 129 yuan (lebih kurang RM80) seorang.