|
Polis rampas 204 mesin bitcoin di dua premis di Jalan Budi Utara, Taman Wawasan Batu Pahat, semalam. Foto Ihsan Polis
Batu Pahat: Polis merampas 204 mesin bitcoin bersama bekalan kuasa bernilai RM204,000 di dua premis yang mencuri elektrik bagi melakukan kegiatan perlombongan mata wang digital secara haram di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, operasi itu dilakukan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada jam 11 pagi di dua premis di deretan kedai di Jalan Budi Utara, Taman Wawasan Batu Pahat.
"Hasil daripada pemeriksaan, pihak TNB mendapati telah berlaku kecurian elektrik di kedua-dua premis yang di dalamnya terdapat aktiviti perlombongan bitcoin yang sedang beroperasi.
"Pihak polis kemudiannya membuat rampasan sebanyak 204 unit mesin Mining Antminer, 11 port switch, dua monitor, dua unit pemprosesan CPU dan dua Router di kedua-dua premis berkenaan yang digunakan untuk tujuan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail berkata, ketika pemeriksaan premis dalam keadaan berkunci dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.
"Dipercayai dua premis berkenaan sudah beroperasi selama tujuh bulan dan pihak TNB menganggarkan kerugian hampir RM320,000 selama tempoh berkenaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1997," katanya.
Katanya, polis sedang berusaha mengesan individu yang terbabit dalam aktiviti perlombongan mata wang digital secara haram berkenaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... remis-curi-elektrik |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|