|
Pengapit perempuan asyik jeling, menyampah! Gara-gara tak puas hati dapat kipas patah, akhirnya bertemu jodoh
SIAPA sangka bermula sebagai pengapit, kedua-duanya berakhir ke jenjang pelamin.
Begitulah takdir buat pasangan ini apabila bertemu jodoh selepas kali pertama bersua muka sebagai pengapit majlis perkahwinan rakan mereka.
"Daripada pengapit ke berkepit. Tahniah! Semoga bahagia dunia akhirat," komen netizen menerusi video pasangan suami isteri yang kini tular di media sosial.
Berkongsi cerita kepada mStar, Nur Khayra Adra Low Abdullah berkata, video yang baru dikongsikannya itu bertujuan mengimbas kembali momen perkahwinan mereka pada 14 Mei lalu.
Ujar Khayra, dia dan suami pertama kali bertemu dalam satu majlis perkahwinan pada Februari 2020.
"Saya nervous jadi pengapit sebab pertama kali dan majlis kahwin sudah tentu ramai orang. Risau tak tahu nak buat apa nanti.
Kawan saya yang pengantin sebenarnya dah ada pengapit tapi saya ganti pada saat akhir kerana pengapit sebelum tu ada hal yang tak dapat dielakkan," katanya kepada mStar.
Berusia 23 tahun, kata Khayra, sepanjang majlis perkahwinan dia dan pengapit lelaki tidak bertegur dan hanya menjalankan tugas bersama rakan pengantin masing-masing.
"Majlis berjalan dengan lancar. Cuma hari tu saya geram dengan pengapit lelaki sebab dia bagi saya kipas pengantin yang patah, sedangkan dia punya kipas okay.
"Sudahlah kami tak kenal, dia pula tak gentleman. Masa tu saya tak suka dia, menyampah! Tapi saya tetap profesional jadi pengapit guna kipas patah," ujarnya yang berasal Melaka.
Namun kata Khayra yang menetap di Selangor, perkenalannya bersama pengapit lelaki bernama Muhammad Izmal Roslan itu bermula menerusi Instagram, selepas tujuh bulan majlis perkahwinan rakan mereka.
"Ketika itu saya jual brownies, dan dia ada DM (mesej langsung) buat order. Dia juga like gambar saya di Instagram, sebelum saya follow akaun dia.
"Kisah kipas patah dah tak ingat masa tu. Selepas sebulan kenal di Instagram, barulah kami jumpa buat pertama kali," katanya sambil menambah mereka bertunang pada Disember 2021.
Menurut Khayra yang bekerja di bahagian admin, keperibadian yang lemah-lembut dan baik serta ramah membuatkan hatinya terpaut pada pengapit pengantin lelaki itu untuk dijadikan suami.
"Suami juga penyabar. Masa dah kenal tu, dia tak ada simpanan dan merancang untuk kumpul duit nak kahwin," katanya mengenai suaminya yang bekerja sebagai penyelia tapak binaan (3S).
Sementara itu, suami Khayra iaitu Izmal, 26, turut mendedahkan bahawa dia juga menggantikan tugas pengapit untuk majlis perkahwinan rakannya pada saat akhir.
"Saya akui bagi kipas patah kat pengapit pengantin perempuan. Siapa cepat dia dapat kan. Sepanjang majlis, dia asyik jeling je. Tak tahu pula kipas patah pun jadi isu, lelaki kan sempoi.
"Sebenarnya saya pun geram juga dengan dia selepas majlis, sebab pengapit perempuan letak kipas dan payung pengantin merata-rata dan balik macam tu je. Saya pula yang kena cari dan kumpulkan," ujarnya mengimbas kembali momen berkenaan.
Izmal berkata, dia dan isteri tidak menyangka permulaan dengan rasa ‘menyampah’ bertukar suka selepas mengenali dan memahami antara satu sama dengan mendalam.
"Dia seorang yang pandai mengambil hati dan suka bercerita, Alhamdulillah dia dah jadi isteri saya. Apabila difikirkan balik, saya mulanya ingat kawan saya tak serius untuk jadikan saya sebagai pengapit dia.
"Satu pengalaman yang sweet dan kelakar buat kami, daripada jadi pengapit last minute kemudian jadi suami isteri," katanya sambil menambah kedua-dua mereka merupakan pencinta kucing dan 'food hunter'.
|
|