View: 423|Reply: 0
|
[Johor]
Polis serbu pusat panggilan judi, 5 ditahan
[Copy link]
|
|
Kamarul Zaman Mamat ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Johor Bahru: Sebuah pusat panggilan yang menjalankan aktiviti perjudian dalam talian yang beroperasi di sebuah pangsapuri di Jalan Sultanah Aminah, Marina Cove di sini, diserbu polis kelmarin menyaksikan lima lelaki turut ditahan.
Dalam serbuan jam 6 petang itu, lima lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun yang ditahan itu adalah dipercayai ahli sindiket.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket itu mampu mengaut kutipan harian lebih RM15,000 dengan mensasarkan pelanggan dari negara jiran.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis yang diserbu ini dijadikan sebagai 'calling centre' yang menawarkan aktiviti perjudian atas talian melalui dua laman sesawang iaitu www.89rich8888.com dan www.tgr138.com.
"Selain itu, sindiket ini mempunyai kutipan harian hingga RM15,500 dengan mensasarkan pelanggan dari Singapura dan hasil siasatan kita mendapati premis ini sudah beroperasi sejak Mac 2022," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Beliau berkata, semua suspek yang ditahan itu berperanan sebagai operator tambah nilai dan cuci kredit selain berperanan berinteraksi dengan pelanggan untuk mempromosikan judi atas talian.
Katanya, semua transaksi akan dilakukan secara perbankan atas talian menerusi beberapa akaun yang dikenal pasti dan semuanya membabitkan akaun bank di negara ini.
"Gaji yang diterima mereka adalah kira-kira RM3,000 sebulan dan diberi komisyen sebanyak 15 peratus," katanya.
Beliau berkata, menerusi serbuan itu juga pihaknya turut merampas empat komputer riba, 20 telefon bimbit, tiga modem dan wifi, dua kad akses serta wang tunai RM3,950.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mempromosi perjudian atas talian.
"Semua suspek kini direman selama empat hari bermula semalam sehingga 1 Oktober ini," katanya.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Kamarul Zaman turut memaklumkan bahawa pihaknya menahan tujuh ahli sindiket pinjaman tanpa lesen, Ah Long yang melakukan khianat dan ugutan jenayah, pada 14 September lalu di beberapa daerah di negeri ini.
Beliau berkata, dalam serbuan antara 9 pagi hingga 7.30 petang itu, seramai enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 32 tahun ditahan kerana bergiat aktif dalam kegiatan memberi pinjaman tanpa lesen serta melakukan kegiatan simbah cat, halangan salah dab ugutan ke atas mangsa yang gagal membuat pembayaran semula pinjaman.
"Hasil serbuan telah berjaya merampas barangan seperti sembilan telefon bimbit, sebelas sim kad, 12 buku catatan peminjam wang, sembilan keping salinan dokumen peminjam, lapan set kad perniagaan syarikat, empat kereta dan tiga helai baju," katanya.
Jelas Kamarul Zaman, dengan tangkapan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 43 kes kejadian simbah cat, halangan salah dan ugutan jenayah di beberapa buah daerah.
"Hasil siasatan mendapati kumpulan ini bergiat aktif sejak Oktober tahun lalu dan modus operandi mereka adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di media sosial.
"Kadar pinjaman diberikan adalah antara RM1,000 hingga RM50,000, manakala faedah pinjaman dikenakan sebanyak 30 peratus dengan bayaran semula perlu dibuat secara mingguan," jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan bagi kes khianat, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ilan-judi-5-ditahan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|