View: 361|Reply: 0
|
[Kelantan]
Rumah usang tempat berteduh lima beranak
[Copy link]
|
|
KUALA KRAI: Melihat keadaan sebuah rumah usang yang serba daif, tiada siapa yang menyangka ia adalah 'syurga' bagi ibu tunggal bersama empat anaknya untuk berteduh sejak lebih 30 tahun lalu.
Apa yang menyedihkan, lantai rumah pusaka yang didiami lima beranak itu sudah reput dan ada yang berlubang, sekali gus mendedahkan penghuninya kepada risiko terjatuh selain dimasuki binatang berbisa, malah tidak mempunyai kemudahan tandas dan dapur yang selesa.
Cik Esah Yusoff, 49, berkata walaupun lantai rumah sudah reput dan berlubang serta dinding di makan anai-anai selain bumbung rumah bocor, dia tidak mampu untuk membaiki kesemua kerosakan itu kerana tidak mempunyai sumber kewangan.
"Apabila hujan lebat, saya dan anak-anak akan berpindah ke kawasan yang tidak bocor dan memeluk mereka apabila angin kencang dan ribut kerana masing-masing berada dalam ketakutan apatah lagi keadaan rumah yang sangat uzur dan menunggu masa untuk menyembah bumi.
"Pada masa sama, saya juga menggunakan air tandak daripada bukit untuk mandi, minum, memasak, serta mencuci pakaian hampir setiap hari," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Durian, Dabong, baru-baru ini.
Terdahulu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menziarahi keluarga berkenaan dan turut menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan asas untuk meringankan beban yang ditanggung.
Cik Esah berkata, selepas kehilangan suami, Zainudin Seman pada Oktober tahun lalu akibat COVID-19, dia kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk membesarkan empat anaknya yang berusia di antara 10 hingga 23 tahun.
"Bagi meneruskan kelangsungan hidup, saya yang dibantu dua anak mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan RM15 sehari, namun sejak lebih seminggu lalu kami tidak dapat keluar menoreh disebabkan cuaca hujan selain getah sekerap juga tidak banyak.
"Keadaan itu menyebabkan saya tidak mempunyai pendapatan serta tidak mampu menyediakan hidangan lauk atau sayur seperti orang lain dan untuk mengalas perut kami anak beranak hanya mampu makan nasi kosong digaul dengan minyak ikan goreng dan budu.
"Mujurlah anak-anak faham erti kesusahan dan mereka tidak pernah merungut apabila saya tidak dapat menyediakan apa yang mereka inginkan, sebaliknya ringan tulang membantu meringankan beban dengan bersama-sama keluar menoreh bagi mencari pendapatan demi kelangsungan hidup.
"Ada kalanya kami terpaksa mengharapkan belas ihsan orang lain apabila terputus bekalan makanan terutamanya apabila tidak dapat keluar menoreh dan tidak mempunyai wang untuk membeli keperluan dapur," katanya.
Katanya, disebabkan kekangan kewangan selain pengangkutan, dia juga tidak mampu untuk membawa anak ketiganya, Che Mohamad Saimrie Zainudin, 20, yang mempunyai masalah penglihatan sejak lahir mendapatkan rawatan di hospital berdekatan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Che Esah bernombor 0350141700078805 atau boleh menghubungi di talian 017-9695148.
Cik Esah Yusoff menggunakan ruang dapur yang sempit dan dinding yang sudah reput ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Durian, Dabong. NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
https://www.bharian.com.my/berit ... rteduh-lima-beranak |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|