|
DARI KANAN Khadijah, Tuan Zullkefle dan Mohd Sukri Ali. FOTO AINAL MARHATON ABD GHANI
Kuantan: Penduduk di beberapa penempatan berhampiran Sungai Belat, di sini, mulai dihimpit kebimbangan berikutan cuaca mendung dan hujan diramal berlaku di negeri ini sehingga Mac tahun depan akibat fenomena Monsun Timur Laut.
Antara kawasan yang dijangka dinaiki air ialah Kampung Razali, Kampung Belukar, Kampung Kurnia, Kampung Teluk Mahang, Taman Gudang Rasau, Taman Guru dan Taman Belukar Maju.
Ini berikutan kawasan berkenaan pernah dilanda banjir pada awal tahun ini yang menyaksikan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) selain menumpang di rumah saudara-mara.
Peniaga santan Mohd Sukri Ali, 55, dari Kampung Teluk Mahang, di sini, berkata dia masih trauma dengan kejadian banjir yang berlaku pada awal tahun ini apabila rumahnya dinaiki air mencecah hampir 1.5 meter.
Menurutnya, kedudukan rumah yang terletak kira-kira 20 meter dari tali air menyebabkan air naik dengan cepat.
"Saya sedang berkira-kira untuk membina para bagi menyimpan barang-barang terutama mesin memproses santan dan bekalan kelapa.
"Pengalaman banjir besar dua kali pada Januari lalu dan Disember 2021 sudah membuatkan kami trauma dan lebih bersedia kali ini.
"Saya tidak beli barang baharu kecuali sebuah peti sejuk beku kerana bimbang jika banjir berlaku lagi," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Penduduk Tuan Zullkefle Tuan Yusuff, 66, berkata dia sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca dan air pasang memandangkan rumahnya terletak berdekatan dengan tali air.
Katanya, banjir yang berlaku pada Januari lalu masih memberi kesan kepadanya apabila banyak barangan termasuk pakaian, kereta dan motosikal rosak akibat ditenggelami banjir.
"Untuk berdepan situasi banjir kali ini, saya akan memasang para besi untuk menyimpan barang dan meletak kenderaan di kawasan lebih tinggi," katanya yang sudah menetap di situ hampir 30 tahun lalu.
Penduduk Khadijah Abd Majid, 62, dari Taman Guru, di sini, berkata dia bersama penduduk lain sudah mula membuat persiapan menghadapi banjir.
"Kami ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) mengingatkan penduduk untuk menyimpan barangan, dokumen penting di tempat selamat dan berpindah jika arahan dikeluarkan.
"Kejadian banjir teruk pada awal Januari tahun ini meninggalkan kesan yang bukan sedikit bagi kami kerana banyak barang terutama perabot dan barang elektrik rosak," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -awal-hadapi-banjir |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|