|
ALI AKHBAR Othman terpaksa menutup sementara perniagaan jualan ayam ekoran kekurangan bekalan di Pasar Balok di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
KUANTAN: Jumlah bekalan ayam terhad antara 50 ke 80 ekor sehari yang diterima daripada pembekal berbanding 300 ekor sehari sebelum ini menyebabkan ada peniaga menutup sementara perniagaan mereka.
Penutupan sementara juga dilakukan kerana harga bekalan ayam melambung sehingga RM9.50 sekilogram dan peniaga pula terpaksa menjualnya sehingga RM10.80 sekilogram termasuk dengan upah pemotongan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, seorang peniaga ayam Ali Akbar Othman, 50, berkata, ekoran krisis ayam yang berlaku lagi, dia terpaksa menutup sementara operasi penjualan bahan mentah itu kerana pembekal juga tidak dapat menampung permintaan golongan penjual di samping harga bekalan tersebut yang tidak masuk akal.
“Hari ini merupakan hari ketujuh saya tidak menjalankan perniagaan ayam sejak Sabtu lalu ekoran pembekal memaklumkan harga ayam tinggi, tambahan pula jumlah bekalan dibahagikan kepada peniaga-peniaga,” katanya ketika ditemui di Pasar Balok, di sini semalam.
Seorang lagi penjual ayam, Rokiah Man, 60, berkata, berniaga dalam keadaan krisis bekalan makanan yang melibatkan sumber makanan utama suatu yang cukup mencabar.
Katanya, jika sebelum ini boleh menjual sekilogram ayam dengan harga kawalan namun kini terpaksa dijual pada harga RM10.70 termasuk upah pemotongan berikutan harga tinggi diperoleh daripada pemborong.
“Walaupun berdepan masalah, saya tetap berniaga dalam keadaan tersepit kerana ia perlu diteruskan memandangkan komitmen tinggi pada keluarga. Cara yang terbaik mampu dilakukan adalah kita ambil bekalan dengan RM9.40 dan cas perkhidmahaan RM1.30,” katanya yang juga terpaksa menutup operasi selama empat hari.
Seorang pengguna, Ramli Abdul Wahab, 54, berkata, kerajaan perlu bertindak segera mengatasi masalah isu ayam ini memandangkan bahan mentah itu sudah menjadi keperluan dan sumber makanan utama.
“Bila bekalan berkurangan, harganya menjadi mahal dan saya rasa kerajaan kena buat sesuatu untuk mengatasi masalah ini. Harga tak pernah stabil… yang susah dan jadi mangsa rakyat,” katanya. –UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita ... -kerana-ayam-mahal/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|