|
Datuk Shah Rukh Khan (SRK) menceritakan pengalaman memalukannya tatkala mencuba rawatan akupuntur bagi meredakan rasa lenguh di bahagian lehernya.
SRK pada awalnya menyangkakan lehernya yang akan dicucuk jarum ketika menjalani proses perubatan alternatif tersebut, tetapi sangkaannya meleset.
Foto: IG
“Apabila membayangkan leher akan dicucuk dengan jarum akupuntur, itu pun dah buat saya rasa gerun.
“Tetapi selepas pengamal perubatan itu memberitahu dia akan mencucuk jarum-jarum halus tersebut di bahagian kemaluan, badan saya terus menggigil,” kongsinya.
Hero Phir Bhi Dil Hai Hindustani itu menambah, dia sudah lama berasa sakit di bahagian leher tetapi takut untuk mendapatkan rawatan di hospital kerana khuatir mendapat kesan sampingan.
Selepas disarankan oleh rakan-rakannya, SRK membuat keputusan untuk mencuba kaedah rawatan akupuntur di sebuah bandar di sekitar Mumbai, India.
“Lebih melucukan, sepatah pun saya tak faham apa yang dibualkan oleh pengamal perubatan itu kerana dia berasal dari timur India, kami bertutur dalam bahasa berbeza.
“Saya cuma faham arahannya semasa diminta menanggalkan pakaian kerana memahami bahasa tubuh yang ditunjukkannya,” jelas SRK berkongsi kisah lucunya sepanjang proses rawatan berlaku. –CARI
Sumber: BOOM
|
|