View: 454|Reply: 0
|
[Johor]
'Enjoy' rewang bersama rakan serumah
[Copy link]
|
|
TUJUH pelajar lelaki ‘enjoy’ melayan kerja dapur dan menyediakan pelbagai juadah untuk dimakan bersama-sama.
Batu Pahat: Walaupun ada yang tidak tahu memasak, namun tujuh pelajar lelaki ini 'enjoy' melayan kerja dapur dan menyediakan pelbagai juadah untuk dimakan bersama-sama.
Tujuh pelajar terbabit ialah Muhammad Zulhilmi Shahrin, Muhammad Aniq Ukyle Muhammad Sani, Muhammad Danial Hakim Mohd Sarif, Rezdan Aidil Mohd Rizan, Muhammad Haiqal Azhari, Haziq Zahidi Khairul Azha dan Muhammad Afiq Najmudeen Ramli.
Kesemua mereka yang berusia 19 tahun adalah pelajar semester empat Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Batu Pahat, Johor, mula rajin memasak secara 'rewang' atau gotong-royong selepas waktu kelas tamat sejak tiga bulan lalu.
Seorang pelajar, Muhammad Zulhilmi berkata, mereka memasak pelbagai menu seperti nasi, telur dadar, sardin, ayam bakar, mi sup, mi goreng, spageti carbonara, tomyam ayam dan bubur nasi berlauk.
Menurutnya, aktiviti memasak mula menjadi rutin mingguan mereka sejak masing-masing teringin makan bubur nasi kerana demam dan batuk.
"Sejak itu kami suka masak dan buat video pula cuma suka-suka mencipta kenangan bersama dan kalau asyik makan di luar sahaja bosan juga, sekali gus dapat membantu kami berjimat.
"Kami bertujuh 'tong-tong' (berkongsi) RM150 sebulan untuk membeli barang dapur dan semua orang ada tugas masing-masing, ada yang siang dan cuci ayam, potong bawang dan masak.
"Selepas siap masak kami makan ramai-ramai dan itulah kemeriahan dirasai sebagai pelajar yang menyewa jauh dari keluarga," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Terdahulu, video memasak sekumpulan pelajar itu mendapat perhatian warganet, malah ada video mereka mendapat lebih sejuta tontonan dengan turut menerima pelbagai komen positif di TikTok.
Katanya, mereka menyewa rumah berhampiran kampus bersama enam rakan lain daripada kolej sama dan mempunyai dua kumpulan yang akan memasak berasingan di dapur.
Pelajar Diploma Sistem Komputer dan Rangkaian itu berkata, aktiviti itu membantu mereka belajar memasak kerana dalam kumpulannya hanya dua orang sahaja yang mahir memasak.
"Ada yang tak pernah potong bawang pun sudah pandai dan setakat ini kami boleh memasak menu yang mudah dan ringkas. Alhamdulillah, walaupun menu ringkas tetapi sedap di tekak kami.
"Kami juga mahu membuktikan pelajar lelaki juga boleh memasak dan mengemas dapur. Setiap kali selesai memasak kami akan bersihkan dapur dan tidak biarkan bersepah," katanya.
Berhubung video memasak mereka tular dan mendapat perhatian di TikTok, Muhammad Zulhilmi mengakui mereka agak segan kerana menu yang dimasak terlalu ringkas dan mudah, malah masakan individu lain jauh lebih bagus.
"Tak sangka juga mendapat perhatian terutama video mi goreng yang meraih lebih sejuta tontonan kerana kami masak mi goreng biasa sahaja dan semua orang boleh masak menu sama.
"Tetapi kami gembira membaca komen yang baik dan positif daripada warganet," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rsama-rakan-serumah |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|