Lima bekas menteri membuat kemunculan kembali dalam rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani, yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua dalam Kabinet Kerajaan Barisan Nasional (BN) di antara 2016 hingga 2018, dilantik mengetuai portfolio baharu, Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang juga bekas Menteri Kesihatan ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan pada 2018-2019, kembali memegang jawatan sama.
Naib Presiden DAP, Gobind Singh Deo, yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia di bawah Kerajaan Pakatan Harapan pada 2018-2019, dilantik sebagai Menteri Digital, iaitu kementerian baharu yang diwujudkan daripada pecahan Kementerian Komunikasi dan Digital.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad, yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi ketika pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional, dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran, yang juga bekas Menteri Sumber Manusia ketika pentadbiran Pakatan Harapan, kembali semula dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).