View: 379|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
Op Ekzos Bising: 96 saman dikeluarkan
[Copy link]
|
|
Antara pemilik motosikal yang disaman.
SEREMBAN – Tindakan pemilik motosikal mengubahsuai ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising antara 96 saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Negeri Sembilan dalam Op Khas Ekzos Bising di sekitar negeri ini bermula 1 Disember lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, operasi yang bermula pukul 6.30 hingga 8 pagi itu dijalankan bagi mengesan kenderaan yang mengubahsuai bahagian ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising dan mengganggu orang ramai.
“Hasil Op Khas Ekzos Bising yang dijalankan pada 1 Disember lalu, sebanyak 215 buah kenderaan telah diperiksa dengan 96 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Sebanyak lima saman bagi kesalahan mengubahsuai ekzos telah dikeluarkan ke atas lima buah motosikal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Dzaffir, sebuah motosikal juga telah disita atas kesalahan ekzos bising dan pengubahsuaian yang keterlaluan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kenderaan yang telah disita akan diserahkan semula kepada pemiliknya setelah diambil tindakan dengan menukar kepada ekzos asal kenderaan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir berkata, Op. Didik turut dijalankan di sekolah sekitar Nilai dan Rembau yang melibatkan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD).
“Op Didik bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya tentang kepentingan mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.
“Ia ditumpukan di sekolah-sekolah dan disasarkan kepada pelajar dan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya.
Beliau berkata, operasi itu dijalankan di semua daerah dalam Negeri Sembilan selama 3 bulan bermula dari 1 Disember sehingga 28 Februari 2023.
Ahmad Dzaffir berkata, tindakan dengan memberikan teguran dan nasihat kepada para pelajar telah diambil semasa operasi itu dijalankan.
“Polis Diraja Malaysia menasihatkan semua pengguna agar sentiasa mementingkan keselamatan jalan raya serta mematuhi peraturan jalan raya yang sedia ada.
“Tindakan secara berterusan ke atas pengguna jalan raya yang tidak menghormati dan melanggar undang-undang yang ditetapkan juga akan dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2022/12 ... -saman-dikeluarkan/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|