|
Jelebu: "Sebelum ini saya tinggal di Lubok China, Rembau, namun kediaman kerap dilanda banjir menyebabkan saya mengambil keputusan pulang ke Kampung Lakai dan membina rumah di sini.
"Namun, tidak sangka di sini pun saya berdepan masalah sama," kata Norinshfariza Jono, 36.
Wanita itu antara mangsa banjir yang ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Lakai di sini, hari ini selepas kediamannya dinaiki air sehingga 1.5 meter.
Norinshfariza berkata, sejak tinggal di kampung ini setahun lalu, ini kali keempat rumahnya dilanda banjir menyebabkan kemusnahan harta benda yang teruk.
Katanya, dia bersama tujuh ahli keluarga keluar dari rumah pada jam 11 malam tadi selepas mendapati air semakin naik dan mula memasuki rumah.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan selepas pengalaman berdepan banjir sebelum ini apabila laluan ke rumahnya terputus hubungan, selain mengelakkan mereka sekeluarga terperangkap.
"Lagipun saya sedang sarat mengandung tujuh bulan, jadi langkah paling selamat adalah keluar lebih awal apatah lagi rumah berdekatan dengan sungai sekali gus air naik lebih cepat," katanya.
Seorang lagi penduduk, Ramsani Ismail, 49 berkata, dia bersama dua ahli keluarga lain berpindah ke PPS pada jam 4 pagi selepas mendapati keadaan semakin teruk.
Katanya, mereka sekeluarga sempat menyelamatkan beberapa peralatan elektrik namun tidak sempat menyelamatkan perabot dan kelengkapan rumah lain.
"Sejak petang hingga ke malam, kami dalam keadaan berjaga-jaga namun pada jam 2 pagi air masuk ke dalam rumah dengan laju menyebabkan keadaan jadi kelam kabut.
"Tidak sampai 15 minit rumah dinaiki air sedalam satu meter," katanya.
Sementara itu, Dania Tarif, 50 pula berkata, dia bersama dua anak dan suami keluar dari rumah dalam keadaan sehelai sepinggang memandangkan air naik hampir satu meter.
"Mujurlah kami sempat keluar dan tiada kemalangan jiwa berlaku biarpun rumah dan harta benda rosak ditenggelami air," katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan ( JPKKP ) Kampung Lakai, Mohd Adlan Jasin berkata, seramai 32 mangsa dari enam keluarga ditempatkan di balai raya kampung berkenaan.
Katanya, sama ada mereka dibenarkan pulang ke rumah atau tidak , ia bergantung kepada keadaan semasa namun ketika ini kebanyakan rumah mangsa masih lagi digenangi air.
RUMAH penduduk di Kampung Lakai yang dinaiki air. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -pun-banjir-metrotv |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|