View: 388|Reply: 0
|
[Terengganu]
Cabaran belajar atas kapal
[Copy link]
|
|
P Thuban dan isterinya menunjukkan skrol yang diterimanya pada Majlis Konvokesyen UMT Ke-20 di Dewan Sultan Mizan di sini. Foto Faizul Azlan Razak
Kuala Nerus: "Boleh dikatakan 80 peratus masa saya belajar di atas kapal ketika belayar, walaupun berdepan halangan di tengah lautan, saya tetap mahu menamatkan pengajian," kata graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), P Thuban, 32 ketika menceritakan cabaran ditempuh sepanjang bergelar penuntut.
Namun, kini, dia mampu tersenyum lebar dan boleh berbangga dengan diri sendiri apabila berjaya menamatkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana Perniagaan dalam istiadat Konvokesyen UMT Ke-20 di sini, hari ini.
Lebih manis, kejayaan itu dikongsi bersama isterinya, M Hasivini, 31, yang turut mengambil Ijazah Sarjana Perniagaan dan abangnya P Yuvarajah, 38, bagi Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan yang turut berkongsi pentas konvokesyen hari ini.
Thuban berkata, banyak cabaran yang dihadapinya dalam membahagikan masa ketika sedang belayar dan menumpukan perhatian kepada pengajian.
Dia yang juga kapten sebuah kapal syarikat perkapalan berkata, laut bergelora ketika belayar cabaran paling getir buat dirinya untuk belajar kerana kapal tidak stabil.
"Pernah sekali saya terpaksa melakukan pembentangan kertas penyelidikan sarjana di atas kapal ketika itu berada di perairan Kemaman.
"Saya bersyukur, apa yang ditempuhi itu berakhir dengan kejayaan cukup berharga dan lebih manis apabila berjaya menamatkan pengajian dengan isteri dan abang," katanya ketika ditemui selepas istiadat berkenaan di sini, hari ini.
Sementara, isterinya, Hasivini berkata, sebelum ini dia juga bekerja sebagai kapten kapal, namun membuat keputusan berhenti kerja selepas mendirikan rumah tangga.
Namun, kini dia bekerja semula dengan sebuah syarikat perkapalan dalam bidang pengoperasian dan menyambung pengajian sebagai langkah persediaan masa depan.
"Bagi saya, bukan selamanya suami akan terus bekerja di atas kapal sebagai seorang pelayar. Jadi, kami sama-sama menyambung pengajian sebagai persediaan awal untuk masa akan datang," katanya.
Ditanya ketiadaan Yuvarajah, Hasivini berkata, sepatutnya abang iparnya bersama suami meraikan kejayaan dengan naik ke pentas sempena majlis konvokesyen.
Namun, abang iparnya bertugas sebagai ketua jurutera di syarikat perkapalan dan kini berada di perairan Laut China Selatan dan tidak dapat pulang akibat Monsun Timur Laut (MTL).
"Jika ikutkan kami bertiga sudah sepakat untuk hadir meraikan kejayaan bersama dan abang ipar sepatutnya sempat pulang selepas tiga bulan belayar.
"Bukan saja abang ipar (Yuvarajah) kecewa tidak hadir dalam majlis konvokesyen hari ini, malah saya dan suami juga terasa kerana sudah lama merancang naik pentas bersama," katanya.
Pada majlis itu, seramai 1,592 orang graduan menerima ijazah disempurnakan Sultanah Terengganu merangkap Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah di Dewan Sultan Mizan di sini.
Turut berkenan berangkat pada majlis itu Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -belajar-atas-kapal |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|