|
Pengguna memilih ikan segar yang dijual di Pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu. - NSTP/BAHAROM BAKAR
KUALA TERENGGANU: Harga ikan segar di Terengganu melambung antara 15 peratus hingga 20 peratus sejak pertengahan bulan ini.
Walaupun peniaga di beberapa pasar awam ada menjual ikan sejuk beku yang harganya jauh lebih rendah, pilihan utama pengguna adalah ikan segar untuk hidangan.
Tinjauan di Pasar Cabang Tiga, di sini, mendapati ikan selayang dijual antara RM15 hingga RM18 sekilogram, ikan merah (RM45-RM48), kembung (RM24), kerisi (RM20), aya (RM16), muduk (RM25), selar (RM24) dan selayang papan (RM17).
Harga udang laut pula pada harga RM79 sekilogram, udang ternak dijual pada harga antara RM34 dan RM45 kg, manakala harga ketam RM38 dan kerang RM16.
Peniaga ikan, Azmi Mohamad, 57, berkata bekalan ikan basah diperoleh dari beberapa negeri di sebelah utara, termasuk Perlis, Kuala Kedah, Perak dan Endau di Mersing, Johor.
"Peniaga juga dapat bekalan ikan basah daripada pemborong di Thailand, tetapi harganya lebih tinggi berikutan nilai mata wang negara itu lebih tinggi. Jadi, kebanyakan peniaga kurang berminat mendapatkan bekalan pelbagai jenis ikan dari negara itu.
"Dari Thailand, peniaga hanya mendapatkan beberapa jenis ikan yang kurang didaripada pemborong di Perlis, Kuala Kedah, Endau dan Perak, tetapi ia hanya untuk pelanggan tetap seperti pengusaha restoran dan hotel di negeri ini," katanya.
Peniaga, Rasidi Ramli, 59, mengakui kurang mendapatkan bekalan ikan dari negara jiran berikutan harga borong terlalu tinggi seperti munduk, kembung dan selar papan yang ditetapkan antara RM25 dan RM22 sekilogram.
"Walaupun ada peniaga yang menjual ikan sejuk beku dan ikan kotak, pengguna tetap memilih ikan basah kerana kesegaran dan kelazatannya," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... k-hingga-20-peratus |
|