|
PENDUDUK kampung bergotong-royong sejak 8 pagi. FOTO Togi Marzuki
Pontian: Inisiatif penduduk Kampung Tenggayon perlu dipuji kerana guna wang saku untuk membina bahu jalan sejauh 1.5 kilometer, di sini, hari ini.
Pembinaan bahu jalan bermula dari Kampung Tenggayon sehingga ke Kampung Banjar dilaksanakan secara bergotong-royong bersama 80 penduduk kampung berkenaan, bermula 8 pagi.
Ketua Kampung Kawasan 7 dan 9 Mukim Rimba Terjun Pontian, Mohd Ali Khuzai berkata, aktiviti itu hasil permuafakatan bersama penduduk kampung itu.
"Demi keselamatan semua pengguna, kami bersama penduduk berkongsi modal membeli tanah berbatu untuk membina bahu jalan.
"Jangan pandang ringan, ketiadaan bahu jalan itu menyebabkan kemalangan sering berlaku sama ada bertembung atau kenderaan tergelincir di bahu jalan yang curam dan tanah gambut yang lembik, " katanya.
Ali berkata, walaupun kemalangan tidak menyebabkan kehilangan nyawa, namun lebih menyedihkan ia juga membabitkan pelajar berulang-alik ke sekolah dengan berbasikal.
"Sebahagian peserta gotong-royong itu berpendapatan tidak menentu hanya mengambil upah membersih tanah pertanian dan pemetik kelapa sawit.
"Namun begitu mereka sanggup meluangkan masa begotong-royong dan menyumbang bentuk kewangan dari wang saku mereka dengan jumlah terkumpul sehingga RM2,000, " katanya.
Menurutnya, dia juga amat berterima pihak pengurusan Pertubuhan Peladang Kampung Tenggayon yang turut menyumbang peralatan dan kenderaan untuk menggangkut tanah berbatu.
Sementara itu, penduduk, Ithinin Sakimin, 56, berterima kasih kepada pelbagai pihak termasuk penduduk yang berhampiran jalan menghulur pelbagai juadah untuk santapan pelaksana pembinaan bahu jalan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... aku-bina-bahu-jalan |
|