|
KUALA TERENGGANU: Krisis bekalan telur ayam di negeri ini dijangka meruncing menjelang sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), Ahad depan.
Ini berikutan beberapa pengusaha syarikat pemborong telur ayam ketika ditemui enggan memberi jaminan bekalan sumber protein itu mencukupi bagi menampung permintaan pengguna, terutama sempena cuti TBC.
Pengurus syarikat pemborong telur, Jason Tan, berkata bekalan sumber protein mencukupi atau sebaliknya sempena cuti TBC tertakluk kepada syarikat pengeluar.
Katanya, pihaknya sudah membuat persediaan awal, terutama dalam meningkatkan tempahan telur ayam untuk memastikan bekalan mencukupi daripada syarikat pemborong.
"Sejak krisis kekurangan bekalan telur ayam bermula pertengahan tahun lalu, syarikat pengeluar tidak memenuhi seratus peratus jumlah tempahan dibuat," katanya ketika ditemui di syarikatnya di Kampung Gong Kiat, Bukit Payong, di sini, hari ini.
Jason berkata, syarikatnya membuat tempahan telur ayam sebanyak 5,000 papan mengandungi 150,000 biji Ahad lalu, tetapi hanya menerima 4,000 papan mengandungi 120,000 biji.
"Sepatutnya bekalan dihantar tiga kali seminggu iaitu Ahad, Selasa dan Khamis, tetapi pengeluar hanya membuat penghantaran pada Khamis lalu.
"Kita tidak berani memberi jaminan bekalan akan diperoleh atau tidak sempena cuti TBC pada Ahad depan," katanya.
Seorang pengurus sebuah syarikat pemborong telur di Cabang Tiga di sini, Nursyzanil Adha Ramli, mengakui kurang yakin bekalan sumber protein itu akan diperoleh menjelang TBC.
Katanya, syarikat pengeluar hanya membuat penghantaran bekalan hari ini walaupun tempahan dibuat sejak Ahad lalu.
"Kita tidak berani memberi jaminan sama ada bekalan mencukupi atau sebaliknya untuk persiapan TBC," katanya yang menerima bekalan sebanyak 3,000 papan mengandungi 90,000 biji, hari ini.
Pekerja syarikat pemborong menyusun telur ayam sebelum dihantar ke pasar raya. NSTP/Baharom Bakarhttps://www.bharian.com.my/berit ... erengganu-menjelang |
|