|
Andy tak sempat jamah sarapan
Mohd Rafi Mamat
[email protected]
Penduduk Kampung Tual B, Pos Senderut menunjukan kesan tapak kaki gajah yang menyerang remaja Orang Asli. STR/MOHD RAFI MAMAT
Lipis: "Adik tidak sempat makan ubi kayu rebus yang disediakan sebagai sarapan pagi... dia seolah-olah ingin segera ke hutan untuk mencari petai," kata Sanita Yok Manin, 19, kakak kepada remaja Orang Asli, Andy, 15, yang maut akibat diserang gajah liar, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, mangsa bersama abangnya, Borhan, 20-an, dan rakannya, Fairul Yok Tong, 22, pergi ke hutan untuk mencari petai sebelum terserempak dengan haiwan liar terbabit di hutan dalam Kampung Tual B, Pos Senderut.
Menurut Sanita, selepas pulang daripada menunggu durian di kebun datuknya di Kampung Tual A, Pos Senderut, Andy singgah di rumahnya kira-kira jam 8.30 pagi untuk sarapan pagi. Bagaimanapun katanya, walaupun ubi kayu rebus sudah disediakan, tetapi adiknya tidak sempat menjamahnya kerana ingin segera keluar untuk mencari petai di hutan terletak beberapa kilometer daripada rumahnya.
"Saya hanya mengetahui adik meninggal dunia akibat diserang gajah selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung sebelum mayatnya dibawa keluar dari hutan.
"Difahamkan Andy mengalami kecederaan parah akibat ditusuk gading gajah pada belakang badan sehingga tembus ke bahagian dada... saya tidak sanggup melihat kecederaan dialami.
"Saya percaya kemalangan berlaku pada adik kerana dia kempunan ubi kayu rebus dan ia adalah kepercayaan masyarakat Orang Asli," katanya.
Sanita berkata, Andy yang juga anak kelima daripada tujuh beradik amat rapat dengan dia sekeluarga kerana suka bermain dengan anaknya, Josanin Johar, 10 bulan.
Sementara, seorang lagi kakak mangsa, Lina, 17, berkata dia tidak menyangka adiknya terbabit dengan serangan gajah liar ketika sedang mencari petai di hutan.
"Saya tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku pada Andy, kemalangan yang berlaku begitu pantas dan terlalu sukar untuk diterima kami sekeluarga.
"Saya amat sedih dengan kehilangan Andy kerana kami sering bermain dan bergurau sebelum ini, kini dia sudah pergi buat selamanya," katanya yang berharap serangan gajah liar terhadap Orang Asli tidak berulang.
Menurutnya, Andy yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Lana, di sini sepatutnya pulang ke asrama bagi meneruskan sesi persekolahan, namun menangguhkan kerana ingin menunggu durian di kebun milik datuk mereka.
"Tiada perubahan dapat dilihat pada adiknya sebelum kejadian berlaku, dan kami adik-beradik sentiasa mesra sejak kecil lagi," katanya.
Batin Kampung Tual B, Pos Senderut, Yok Ek Jantan menunjukan tempat kejadian. STR/MOHD RAFI MAMAT
Gesa Perhilitan segera bertindak
Kemunculan seekor gajah jantan di Kampung Tual B, Pos Senderut, di sini, sejak akhir bulan lalu menggemparkan penduduk setempat kerana tidak pernah berhadapan ancaman haiwan berkenaan di kampung mereka sebelum ini.
Batin Kampung Tual B, Pos Senderut, Yok Ek Jantan, 66, berkata kehadiran seekor gajah yang memusnahkan kebun pisang dan merobohkan pondok penduduk begitu mengejutkan penduduk setempat.
Katanya, dia seolah-olah tidak percaya apabila dimaklumkan seorang remaja lelaki ditemui mati dalam hutan selepas diserang gajah yang dikatakan mengamuk.
"Selepas mengamuk dan membunuh mangsa yang masuk ke hutan untuk mencari petai, gajah berkenaan dikatakan lari ke dalam hutan.
"Haiwan berkenaan kembali masuk ke kampung mungkin untuk mencari makan, namun gajah jantan terbabit berpatah balik masuk ke hutan apabila terserempak penduduk kampung," katanya.
Katanya, difahamkan gajah berkenaan sebelum ini berkeliaran dan memusnahkan kebun penduduk di beberapa kampung di Pos Senderut dan Pos Betau, di sini.
"Saya bagi pihak penduduk merayu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya mengambil tindakan segera menangkap dan memindahkan gajah yang menyerang remaja lelaki terbabit pada Isnin lalu.
"Sekiranya usaha berkenaan tidak dilakukan segera, adalah tidak mustahil gajah jantan terbabit akan menyerang individu lain selepas ini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... empat-jamah-sarapan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|