View: 429|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
Warganegara Myanmar dituduh bunuh sepupu sendiri
[Copy link]
|
|
SEORANG pendatang asing tanpa izin warganegara Myanmar dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas kesalahan membunuh sepupunya sendiri pada 7 Januari lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Oleh NOR AINNA HAMZAH
17 Januari 2023, 12:36 pm
KUALA PILAH: Seorang pendatang asing tanpa izin warganegara dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas kesalahan membunuh sepupunya sendiri di daerah ini pada 7 Januari lalu.
Peng Za Uk, 21, mengangguk sejurus pertuduhan pertama dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.
Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 7 Januari lalu, kira-kira pukul 9.30 malam hingga 8 Januari kira-kira pukul 1.30 pagi di hadapan rumah di Selaru di sini, dia telah membunuh seorang lelaki warganegara Myanmar.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Bagi pertuduhan kedua, pada 8 Januari kira-kira pukul 3 pagi, di tepi jalan besar Selaru, Dangi, tertuduh telah didapati masuk dan tinggal di Malaysia tanpa mempunyai dokumen secara sah yang menyalahi undang-undang.
Bagi pertuduhan tersebut, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c), Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3), akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun bagi pertuduhan kedua itu, tertuduh menyatakan tidak memahami pertuduhan terhadapnya itu. Majistret kemudiannya mengulangi soalan, sama ada tertuduh faham atau sebaliknya bagi pertuduhan pertama dan tertuduh menyatakan tidak memahami sepenuhnya pertuduhan yang dibacakan.
Majistret kemudiannya menetapkan 17 Februari depan bagi sebutan semula kes di Mahkamah Majistret yang sama bagi jurubahasa Myanmar memandangkan tertuduh hanya memahami Bahasa Myanmar.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media pada 9 Januari lalu melaporkan seorang lelaki warga Myanmar ditangkap dalam cubaan melarikan diri selepas dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang pekerja kandang ternakan di Selaru, Dangi, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, kira-kira pukul 3 pagi, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki iaitu penternak haiwan, melaporkan mangsa yang juga merupakan pekerjanya telah meninggal dunia di sebuah kandang ternakan.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat, polis membuat tangkapan terhadap seorang lelaki Myanmar yang merupakan sepupu mangsa yang ditangkap di tepi jalan Selaru, Dangi, tidak jauh dari tempat kejadian semasa cubaan mahu melarikan diri.-UTUSAN.
https://www.utusan.com.my/berita ... nuh-sepupu-sendiri/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|