|
Pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari seorang pelajar yang dikhuatiri lemas di Sungai Hulu Dungun. - NSTP/ROSLI ILHAM
DUNGUN: "Saya berpatah balik nak ambil kayu untuk selamatkan dia, tak sangka dia tengelam dengan cepat," kata Zul Qarnain Za'im, rakan pelajar kolej yang dikhuatiri lemas di Sungai Hulu Dungun, dekat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), di sini.
Zul Qarnain, 20, pelajar tahun akhir Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) Kuantan, berkata dia menemani mangsa, Muhammad Zuhaily Roslan, 20, ke sungai itu untuk menjala ikan, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Katanya, rakan sekampungnya itu pelajar sebuah kolej di Nilai, Negeri Sembilan dikhuatiri lemas ketika menyeberangi sungai terbabit, kira-kira jam 3.15 petang semalam.
"Kami menunggang motosikal dari Kampung Gong Gemia Paka dan tiba di situ, kira-kira jam 12 tengah hari, berehat dan solat Zuhur dulu. Kami kemudian menjala di sekitar sungai itu sebelum mengambil keputusan untuk ke kawasan seberang sungai.
"Ketika menyeberang sungai selebar kira-kira 30 meter itu, tiba-tiba kami berdua terjerlus. Saya bagaimanapun berjaya mengapungkan diri, tapi Zuhaily terkapai-kapai meminta tolong, saya minta dia bersabar.
"Saya berpatah balik naik ke darat untuk ambil kayu dengan tujuan mahu menyelamatkannya dan sebaik turun semula ke sungai, saya dapati dia sudah hilang. Kawasan itu tiada liputan untuk talian telefon dan jauh dari penempatan penduduk," katanya.
Zul Qarnain Za'im (tengah) menceritakan kejadian kepada pasukan penyelamat. - NSTP/ROSLI ILHAM
Katanya, dia kemudian memecut motosikal keluar ke jalan besar dalam jarak kira-kira 10 kilometer sebelum menghubungi talian kecemasan.
"Selepas itu barulah saya terserempak beberapa penduduk dan meminta tolong mereka ke tempat kejadian menyelamatkan rakan saya," katanya tidak menyangka kegembiraan mereka menjala ikan di situ bertukar tragedi menyedihkan.
"Dia seorang rakan sangat baik, saya sangat sedih gagal menyelamatkan Zuhaily," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata, gerakan mencari dan menyelamat mangsa diteruskan pagi ini, membabitkan 50 anggota polis dengan kerjasama anggota bomba serta penduduk kampung.
"Setakat ini usaha mencari dan menyelamat mangsa masih belum berhasil dan kita berharap dia segera ditemui," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... ggelam-dengan-cepat |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|