View: 356|Reply: 0
|
[Kelantan]
Ibu tunggal bimbang rumah pusaka ranap akibat banjir
[Copy link]
|
|
MOHAMAD Wadi Annuar (tengah) bertanya khabar kepada Suriani yang juga antara 541 keluarga yang terkesan banjir di Kampung Kajang Sebidang di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK
Tumpat: Setiap tahun dilanda banjir menyebabkan seorang ibu tunggal bimbang rumah pusaka yang didiaminya bersama dua anak akan ranap bila-bila masa.
Suriani Zakaria, 27, berkata, hampir keseluruhan ruang dalam rumah milik keluarga arwah suami mengalami kerosakan iaitu dinding terkopak dan lantai berlubang serta reput.
Ibu kepada dua cahaya mata berusia empat dan lapan tahun itu berkata, lebih menyedihkan banyak peralatan dalam rumah termasuk barangan elektrik rosak disebabkan banjir baru-baru ini.
"Air naik sehingga paras dua meter di luar rumah manakala ruang dalam serta dapur pula sudah di paras 0.8m menyebabkan saya dan dua anak bergegas untuk berpindah.
"Selepas lapan hari di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), saya kembali ke rumah dan sangat sedih kerana mesin basuh dan peti ais yang sudah diletakkan di tempat tinggi tunggang langgang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kajang Sebidang, di sini, hari ini.
Terdahulu Suriani menerima sumbangan dapur memasak dan tilam nipis daripada Pertubuhan Khidmat Ummah Kuala Muda yang disampaikan oleh pengerusinya, Mohamad Wadi Annuar Ayub.
Katanya lagi, walaupun sudah hampir tiga minggu banjir berlalu, dia masih belum mengemas sepenuhnya barangan dalam rumah kerana selain kekangan masa, dia juga bimbang akan dilanda banjir semula.
"Bahagian dapur utama masih lagi berselut menyebabkan saya terpaksa menggunakan ruang lain untuk memasak selain dipenuhi timbunan pakaian rosak.
"Saya juga bimbang jika rumah dimasuki haiwan berbisa menerusi lubang dinding dan lantai," katanya
Suriani yang kematian suami, Mokhtar Awang Ali, 35, akibat serangan jantung tahun lalu berkata, dia bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sebanyak RM30 sehari.
"Dengan pendapatan yang sekadar cukup makan untuk kami tiga beranak, sudah pasti agak sukar untuk saya membeli peralatan baharu apatah lagi membaik pulih rumah yang uzur.
"Jika ada dinding yang terkopak atau lantai berlubang, saya meminta bantuan ahli keluarga untuk memaku atau menyalin papan secara ala kadar," katanya.
Suriani adalah antara 541 keluarga yang terdiri daripada mangsa banjir di empat kampung di sini, menerima sumbangan dapur memasak dan tilam nipis.
Sumbangan membabitkan kos RM200,000 itu disumbangkan Pertubuhan Khidmat Ummah Kuala Muda dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mukim Kajang Sebidang/Teluk Jering.
Sementara itu Mohamad Wadi Annuar berkata, lokasi di Tumpat, di sini adalah ketiga selepas Pahang dan Selangor dalam menyempurnakan misi bantuan banjir berkenaan.
"Kami mengagihkan barangan sama untuk ketiga-tiga negeri dan keseluruhan kos setakat ini bernilai RM600,000.
"Kami lebih memilih agihan dalam bentuk barangan kerana lebih bersifat kekal berbanding makanan yang boleh dihabiskan dalam masa yang singkat.
"Lagipun saya difahamkan, sudah banyak pihak yang tampil menyampaikan makanan asas berbanding barangan keperluan lain," katanya.
Sebanyak 12 pacuan empat roda digunakan untuk mengagihkan barangan sumbangan dari rumah ke rumah membabitkan Kampung Kajang Sebidang, Teluk Jering, Palas Merah dan Dalam Kota.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ranap-akibat-banjir |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|