View: 344|Reply: 0
|
[Kelantan]
Tiga dekad ‘derita’ tanpa bekalan elektrik, air bersih
[Copy link]
|
|
SYAHIRA Bahari (depan) bersama ibu dan anaknya terpaksa menggunakan rakit untuk keluar dari rumahnya ke kawasan daratan dengan merentasi sungai di Kampung Serongga, Pasir Mas, Kelantan. - FOTO/YATIMIN ABDULLAH
Oleh YATIMIN ABDULLAH
20 Januari 2023, 4:21 pm
PASIR MAS: Menjalani kehidupan tanpa bekalan elektrik dan bekalan air bersih sejak tiga dekad lalu sudah menjadi kebiasaan buat sebuah keluarga dari Kampung Serongga, di sini.
Kesempitan hidup memaksa keluarga berkenaan yang menghuni sebuah rumah di atas tanah rizab kerajaan itu menjadikan air sungai sebagai sumber utama untuk mandi dan mencuci pakaian serta memasak.
Syahira Bahari, 18, mendedahkan, keperitan itu sudah sebati buat dirinya selepas membesar dalam keadaan serba kekurangan sebaik sahaja dilahirkan termasuk menggunakan rakit bagi menyeberangi sungai keluar dari kawasan rumah ke daratan.
Menurutnya, kemudahan elektrik hanya dinikmati seminggu lalu selepas menerima bantuan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan sebuah generator menerusi sumbangan disampaikan oleh aktivis masyarakat, Amran Rahman.
“Alhamdulillah, selepas berpuluh-puluh tahun bertemankan lilin untuk mendapatkan sumber cahaya, akhirnya saya dan keluarga merasai nikmat yang tidak terhitung nilainya itu.
“Sebelum ini rumah kami hanya pondok biasa, namun hasil sumbangan NGO tujuh tahun lalu. Kami sekeluarga boleh hidup lebih selesa dengan rumah yang dibaiki. Bagaimanapun, kami masih belum mempunyai kemudahan tandas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Syahira memberitahu, sepanjang tempoh itu dia dan ibu terpaksa mendapatkan belas ihsan dari jiran-jiran bagi memperoleh bekalan air bersih untuk kegunaan harian.
Katanya, pada masa yang sama dia terpaksa berulang alik-alik hampir satu kilometer untuk memunggah air bersih dari rumah jiran.
“Impian untuk hidup dalam keadaan lebih selesa itu memang ada, namun belum ada rezeki. Pendapatan suami Muhammad Aziz Mohd. Azihar, 21, yang bekerja sebagai buruh di kilang kayu masih belum mencukupi.
“Saya dan ibu (Hasnah Daud, 56,) bekerja mengambil upah mencucuk sate ikan di Rantau Panjang. Dalam sehari saya dan ibu hanya memperoleh upah sekitar RM20 seorang,” ujarnya.
Syahira berkata, pada masa yang sama dia terpaksa membawa anaknya berusia lapan bulan ke tempat kerja bagi membolehkan dia mencari rezeki membantu suami.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akuan CIMB 7634650330 Muhammad Aziz Mohd. Azihar. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... lektrik-air-bersih/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|