|
Suasana di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Hajjah Besar Khalsom di Kluang Johor susulan 6 terkorban nahas dua kereta. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Kluang: Dua beradik yang terkorban dalam nahas jalan raya dekat sebuah pusat agro pelancongan di Kilometer 71 Jalan Batu Pahat - Mersing, kelmarin merancang untuk mengadakan majlis pertunangan serentak bersama seorang lagi adik mereka.
Rosnina M Riyanto, 28, berkata adik tirinya, Siti Nurzannah Kadhar, 26, Masrini,22 dan Masrina, 20 merancang untuk mengadakan majlis pertunangan serentak pada 24 Februari depan di kediaman keluarga mereka di Hulu Langat, Selangor.
"Hajat ibu mahu melihat ketiga-tiga anaknya mengikat pertunangan serentak pada majlis yang juga cukup istimewa kerana ia adalah hari lahir Masrina.
"Sudah tentu majlis pertunangan ini ditunggu-tunggu kami sekeluarga. Tetapi kami reda dengan ketentuan Ilahi," katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, Siti Nurzannah dan Masrina antara enam yang maut termasuk dua kanak-kanak daripada lapan orang yang menaiki Perodua Myvi dalam perjalanan untuk berkelah di pantai Air Papan, Mersing.
Turut terkorban dalam nahas itu adalah anak sulung Rosnina, Mohd Ashraf Rafiq Mohd Arifin, 11, manakala seorang lagi anaknya, Nur Annalesha Rania, 7, dirawat di zon merah HEBHK.
Rosnina berkata, dia diberitahu Siti Nurzannah memeluk kemas anaknya, Nur Annalesha ketika kejadian.
"Pelukan erat itu melindungi anak saya daripada cedera lebih teruk walaupun ketika ini dia mengalami kecederaan di kepala dan pinggul dan masih mendapatkan rawatan hospital.
"Saya sebak kerana anak saya ini memang sangat rapat ibu saudaranya yang dipanggil Mak Ngah dan dia tak mahu berpisah serta mahu menaiki Perodua Myvi bersama.
"Diikutkan memang tak boleh naik kereta sehingga lapan orang dalam satu kereta tetapi mereka (dua anaknya) terlampau teruja dan berkeras tidak mahu naik dengan saya dan suami," katanya.
Dalam pada itu, jenazah dua beradik, Muhammad Zharfah, 16, dan Muhammad Syakir Noramin, 11, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Melayu Layang-layang di sini pagi ini.
Manakala, empat jenazah lain iaitu Situ Nurzannah dan Masrina dibawa pulang ke kediaman mereka di Hulu Langat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Hulu Langat.
Jenazah Muhammad Adil Abdul Kahdir, 23, pula dibawa pulang ke Perlis untuk dikebumikan manakala jenazah Mohammad Ashraf Rafiq dibawa pulang untuk dikebumikan di Keramat, Kuala Lumpur.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... -bertunang-serentak |
|