|
San Francisco: Seorang lelaki terlalu obses dengan Disneyland hingga mencipta rekod dunia sebagai pengunjung paling kerap ke taman tema berkenaan.
Daily Star melaporkan, Jeff Reitz dari California, Amerika Syarikat (AS) mula melawat Disneyland di Anaheim, pada 2012. Pada masa itu, dia tidak bekerja dan mahu beriadah.
Kini, sudah lapan tahun, tiga bulan dan 14 hari atau bersamaan 2,995 hari, dia ke Disneyland tanpa henti.
Lelaki berusia 50 tahun dari Huntingdon Beach itu kini melakar sejarah dalam Rekod Dunia Guinness (GWR) atas pencapaian berkenaan.
Reitz menyimpan rekod semua kunjungan dan sedar bahawa tiada rekod mengenai pengunjung paling kerap di taman tema di California Selatan itu.
Dia hanya menyedari menjadi pencipta rekod itu selepas GWR menghubunginya dan menyatakan hasrat untuk menulis cerita mengenai dirinya.
Ketika itu, dia mendapati dirinya secara rasminya adalah pemegang rekod berkenaan.
Menurut Reitz, banyak masa dan wang diperlukan untuk mencipta rekod luar biasa itu.
Adakalanya, Reitz perlu mengambil cuti untuk memastikan dirinya dapat ke Disneyland atau pergi ke taman tema itu pada malam atau awal pagi.
Dia juga perlu membuat rancangan setiap hari mengenai cara untuk makan dalam taman tema itu kerana harga makanan di situ yang mahal.
Dalam catatan blog, Reitz berkongsi bagaimana dia menyimpan setiap tiket letak kereta ketika berkunjung ke taman tema itu dan memuat naik tiket itu di Facebook dan Twitter.
Disiarkan pada: Februari 27, 2023 @ 2:32pm
|
|