|
Mohamed Khaled melawat PPS Sekolah Kebangsaan Mawai di Kota Tinggi, hari ini. - Foto NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN
KOTA TINGGI: Projek tebatan banjir di Kota Tinggi wajar dimulakan segera bagi, memastikan kejadian banjir buruk tidak lagi berulang.
Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata terdapat dua projek tebatan banjir yang besar membabitkan daerah berkenaan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, dengan kos yang mencecah kira-kira RM700 juta.
"Kita perlu terima hakikat bahawa kawasan-kawasan ini memang selalu berlaku banjir.
"Seperti dimaklumkan dalam lawatan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dua hari lalu, ada beberapa projek yang sedang diusahakan untuk daerah Kota Tinggi ini yang kita harap, sedikit sebanyak boleh mengatasi banjir yang kerap berlaku dalam kawasan ini.
"Ada dua projek tebatan banjir. Satu sudah pun ditender dan satu lagi dalam Kabinet. Saya ada maklumkan supaya projek itu disegerakan untuk ditender kerana kita berharap, jika dapat dimulakan segera, dapatlah kita pastikan banjir di Kota Tinggi ini yang kerap berlaku tidak lagi berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, pihak kementerian sudah mengenal pasti penuntut institut pendidikan tinggi (IPT) yang terjejas dalam banjir kali ini.
Beliau berkata, pihaknya sudah menyerahkan kepada setiap pengurusan IPT untuk membantu penuntut yang terbabit.
"Ini universiti masing-masing akan beri perhatian dan akan ambil peranan bagaimana boleh menyumbang untuk mengurangkan kesan kepada penuntut mereka.
"Tetapi, yang dalam perancangan untuk sumbangan lain kepada pihak universiti, kita akan salurkan selepas banjir tamat, terutamanya dalam membantu menjalankan kerja membersihkan rumah dan sebagainya.
"Di peringkat kementerian juga kita ada menyumbang mengikut cara kita sendiri antaranya dengan membekalkan bantuan bakul makanan dipanggil Bakul Rahmah sebanyak 950 bakul yang mengandungi pelbagai barangan bagi membantu keperluan mangsa banjir," katanya.
Menurut Mohamed Khaled, buat masa ini, hanya Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Segamat yang dilaporkan terjejas akibat banjir di negeri ini.
Pada masa sama, Mohamed Khaled turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam memastikan keadaan banjir terkawal dan baik buat mangsa-mangsa banjir kali ini.
https://www.bharian.com.my/berit ... i-perlu-disegerakan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|