|
MOHD Ezri Hafiz menunjukkan wang tunai adiknya yang terbakar dalam kebakaran di rumah mereka di Taman Seri Inderapura. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Kuantan: Malang buat pekerja swasta apabila wang disimpannya untuk membayar upah membaiki motosikal, hangus dalam kebakaran di rumahnya di Taman Seri Inderapura di sini, hari ini.
Mohd Ezri Fazril Mat Dros, 27, berkata, kejadian 1.15 pagi itu berlaku beberapa minit selepas dia keluar dari biliknya untuk bertemu rakan di luar rumah.
"Tiba-tiba saja bunyi letupan yang menyebabkan kebakaran, dipercayai bermula di dalam bilik tidur saya.
"Saya cuba menyelamatkan barangan berharga yang termampu namun asap tebal. Wang simpanan lebih RM1,000 dalam bilik juga tidak dapat diambil sepenuhnya, hanya RM700 sahaja yang dapat diselamatkan.
"Wang itu untuk membayar upah membaiki motosikal. Turut musnah dua jam dan kasut berjenama," katanya.
Mohd Ezri Fazril berkata, dia tidak pasti apa punca kebakaran itu namun, mengakui mendengar beberapa letupan dari dalam bilik tidurnya yang terletak di bahagian belakang rumah.
"Abang (Mohd Ezri Hafiz) terjaga selepas menyedari kebakaran berlaku dan segera mengejutkan mak supaya segera keluar menyelamatkan diri," katanya.
Menurutnya, dia bersama jiran berusaha memadam kebakaran itu sebelum ketibaan bomba namun, api marak membakar bumbung.
Katanya, sangat bersyukur dengan kepantasan anggota bomba dan penyelamat yang cekap mengawal kebakaran dan mengelak rumah jirannya daripada menerima nasib sama.
Dalam pada itu, Mohd Ezri Hafiz, 30, berkata, dia sedar berlakunya kebakaran selepas terbau asap sebelum keluar untuk meninjau apa yang berlaku.
"Saya segera mengejutkan mak dan ayah untuk menyelamatkan diri, Kejadian berlaku pantas dan mencemaskan. Tidak mungkin kami sekeluarga dapat melupakan insiden ini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-wang-rm700-sahaja |
|