CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 324|Reply: 0

[Johor] Ibu trauma saksikan anak nyaris dibawa arus banjir

[Copy link]
Post time 6-3-2023 11:29 AM | Show all posts |Read mode

SUKARELAWAN giat melakukan pembersihan kerusi pesakit serta lain-lain peralatan yang bersalut lumpur di Klinik Kesihatan Chaah selepas ditenggelami banjir. FOTO BERNAMA

Segamat: Seorang ibu masih trauma kerana menyaksikan sendiri anak bongsunya berkali-kali jatuh disebabkan arus deras banjir ketika cubaan menyelamatkan diri di Kampung Baru Chaah, di sini, Rabu lepas.

M Kalaivani, 46, berkata, ketika kejadian pada 5.30 pagi itu, dia sudah bangun tidur dan menyedari paras air di dalam rumah sudah sampai paras lutut.

"Anak sulung saya kemudiannya beritahu yang kawannya menelefon dan cakap air dah naik di Pekan Chaah.

"Apabila kami buka pintu, rupanya sudah paras pinggang dan kami buat keputusan untuk redah ke sekolah berhampiran sebab ada tingkat lebih tinggi," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Meskipun sekolah itu tidak jauh dari rumah, namun mereka mengalami kesukaran sebab arus yang deras sehinggakan anak bongsu lelakinya yang berusia lapan tahun berkali-kali jatuh, serta terpaksa memanjat pagar sekolah kerana pintu lain yang dibuka, terlalu jauh, kata Kalaivani.

"Masa itu bantuan tiada sebab kami dengar pekan ni dah macam pulau, tiada bantuan boleh masuk. Kami duduk di tingkat tiga sekolah dan berlapar sehingga jam 8 malam itu, sehinggalah diberikan roti dan air mineral," katanya.

Ibu kepada empat orang anak itu, yang sudah tinggal di rumah berkenaan sejak lahir, tidak pernah mengalami kejadian banjir yang sangat buruk sebelum ini.

"Sedih jugalah banyak barang kami tidak dapat diselamatkan termasuk dua motosikal dan set perabot baharu yang dibeli sempena sambutan Deepavali yang lepas," kata Kalaivani.

Sementara itu, suaminya, K Balakrishnan, 44, sebelum itu mengangkat dua anaknya yang masih kecil secara bergilir-gilir keluar dari rumah kerana arus yang deras.

"Saya juga ada nampak ramai orang yang duduk di atas bumbung sambil menantikan bantuan," katanya.

Pada kejadian Rabu lepas, Pekan Chaah dan kawasan sekitar 'terputus hubungan' dan menjadi seakan pulau sehingga menyukarkan pihak berkuasa untuk menyelamatkan mangsa banjir.

Ia turut mengorbankan dua warga emas di Jalan Kongsai, Chaah, yang ditemukan pihak berkuasa selepas air surut, tiga hari lepas.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Pekan Chaah dan kawasan sekitar menyaksikan banyak kenderaan masih tersadai akibat banjir.

Selain itu, pagar di Balai Polis Chaah kelihatan rosak teruk serta dipenuhi sampah sarap yang tersangkut ketika dibawa arus banjir.

Turut terkesan ialah Klinik Kesihatan Chaah dengan ramai petugas kesihatan dan sukarelawan gigih membersihkan kerusi pesakit serta lain-lain peralatan yang bersalut lumpur.

https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -dibawa-arus-banjir

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-12-2024 04:13 AM GMT+8 , Processed in 0.041104 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list