View: 2136|Reply: 0
|
[Johor]
'Tenanglah di sana Coki, kami cemburu...'
[Copy link]
|
|
AZMEER Shauqi Ilias meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang daripada majlis ilmu di Kedah. FOTO Ihsan pembaca.
Johor Bahru: Tular di laman sosial mengenai kisah pemergian penghantar makanan, Azmeer Shauqi Ilias yang disifatkan mulia kerana meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya selepas pulang daripada program majlis ilmu di Kedah.
Kemalangan berlaku di kilometer (km) 272.2 Nilai arah selatan pada jam 6 pagi, 11 Mac lalu dipercayai akibat 'microsleep'.
Jenazah Azmeer Shauqi yang berusia 23 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Parit Keroma, Ayer Baloi, Pontian, Johor.
Kisah menyedihkan itu menarik perhatian netizen selepas rakannya, Md Fazlee Karim, 39, memuat naik ciapan di Twitter.
"Sape (siapa) sangka... senakal kawan aku Coki (nama panggilan Azmeer Shauqi Ilias) dia pergi senyap-senyap ke Festival Sunnah 2023 kat Kedah naik motor EX5 seorang diri.
"Selamat sampai, tiga hari dia ke sana…11 Mac dian bertolak balik ke Johor Bahru dan kemalangan dekat Seremban seterusnya meninggalkan kami selama-lamanya. al-Fatihah.
"Pengakhiran yang Allah saja yang Maha Mengetahui.. Moga tenang di negara abadi Coki.
"Terima kasih untuk kenangan sepanjang perkenalan kita. Sesungguhnya kau seorang adik yang amat baik.. Hormat orang tua.. murah senyuman.. Love you (sayang kamu) Coki..," ciapnya.
Berkongsi kisah itu, Md Fazlee berkata, dia berkenalan dengan Azmeer Shauqi sejak tiga tahun lalu iaitu ketika mula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
"Boleh dikatakan, setiap hari saya bersama arwah dulu kerana kami sama-sama menjadi penghantar makanan ketika PKP.
"Kali terakhir kami berjumpa adalah tiga minggu lalu di sebuah pusat beli belah dekat Taman Universiti, di sini kerana sama-sama tunggu pesanan masuk dan sejam juga duduk bersama.
"Saya tak tahu Coki ke festival berkenaan dan dia juga tidak pernah mengajak, mungkin kerana komitmen saya yang sudah berkeluarga.
"Tiba-tiba, saya dikejutkan dengan berita pemergiannya dan dapat tahu pun melalui abang keduanya yang juga penghantar makanan," katanya.
KELUARGA menziarahi pusara Azmeer Shauqi. FOTO Ihsan pembaca.
Menurut Md Fazlee, pemergian Azmeer Shauqi adalah kehilangan besar buatnya walaupun mereka cuma rakan dan tiada pertalian darah.
"Selain WhatsApp atau telefon, arwah akan cari saya dan tanya dengan rakan penghantar makanan lain jika tidak nampak saya di pusat beli belah tempat kami biasa menunggu pesanan.
"Arwah juga tidak pernah berkira untuk membantu kawan tidak kira ketika hujan atau panas.
"Banyak kenangan dengannya tetapi yang saya tak dapat lupakan adalah apabila dia jadi orang pertama ingin menghulurkan bantuan ketika saya disahkan Covid-19 pada Februari tahun lalu," katanya
Md Fazlee berkata, niatnya memuat naik ciapan di Twitter adalah untuk memberi kesedaran kepada diri sendiri mengenai kematian selain meluahkan rasa cemburu, bangga dan kagum dengan kemampuan Azmeer Shauqi pergi ke majlis Ilmu seorang diri.
"Dia pergi dalam keadaan yang dicemburui dan saya percaya, semua umat Islam mengimpikan pemergian sepertinya.
"Buktinya, ramai netizen yang turut berduka selepas saya muat naik ciapan itu dan doakan kesejahteraan dan ketenangan roh Allahyarham di sana.
"Sebagai sahabat, saya memang sedih namun reda dengan ketentuan Ilahi walaupun ada perancangan kami yang belum dilakukan, salah satunya 'ride' secara konvoi dengan Allahyarham," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... a-coki-kami-cemburu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|