|
Johor Bahru: Polis tidak pernah berhenti melaksanakan operasi bagi membanteras aktiviti perjudian atas talian yang berselindung di sebalik pelbagai premis perniagaan terutama kedai telekomunikasi, di negeri ini.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, Op Dadu Khas yang dijalankan dengan memberi fokus kepada kegiatan itu dijalankan setiap hari dengan pemeriksaan, tangkapan, rampasan serta pertuduhan di mahkamah dibuat dengan kerap.
Beliau berkata, bukan itu sahaja, permohonan bagi pemotongan bekalan elektrik di premis perniagaan terbabit serta permohonan pembatalan lesen perniagaan juga dibuat oleh pihaknya.
"Mengenai perjudian atas talian ini, setiap hari kita menjalankan operasi, ia berterusan ditambah kita mendapat kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Tetapi, mereka ini ada yang kita sudah ambil tindakan potong elektrik dan sebagainya, mereka mohon semula untuk penyambungan selepas itu. Jadi, kita terpaksa menjalankan operasi setiap hari dan setiap hari juga akan ada tangkapan dibuat," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Khamis lalu, Harian Metro melaporkan penduduk setempat resah apabila wujud kegiatan judi atas talian yang kini berselindung dengan menggunakan logo syarikat telekomunikasi terkemuka di luar premis bagi menyembunyikan operasi sebenar mereka yang menjual tambah nilai prabayar permainan judi atas talian.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Kamarul Zaman berkata, bermula 1 Januari hingga 18 Mac lalu, Polis Kontinjen Johor sudah menjalankan Op Dadu Khas itu dengan memberi tumpuan terhadap aktiviti judi atas talian berkenaan.
"Dalam operasi yang dijalankan itu, sebanyak 324 premis diserbu dan diperiksa, manakala 334 orang ditangkap terdiri daripada 329 penjaga premis perjudian dan lima pemain. Mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 60 tahun," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... as-judi-atas-talian |
|