|
Enam lembu peliharaan Wan Md Seri Wan Ismail, 60, mati akibat diserang harimau belang di kebun getah di Kampung Perala, di sini. FOTO IHSAN PEMBACA
Tanah Merah: Penternak kerugian kira-kira RM15,000 apabila enam lembu peliharaannya mati akibat diserang harimau belang dalam kebun getah di Kampung Perala, di sini, semalam.
Wan Md Seri Wan Ismail, 60, berkata dia terkejut mendapati dua lembunya mati serta-merta, manakala empat lagi terpaksa disembelih kerana sudah tidak dapat diselamatkan.
Menurutnya, kejadian disedari ketika dia pergi ke kebun getah tempat semua 13 ekor lembu peliharaannya ditambat pada 9.30 pagi dan mendapati pagar kandang pecah.
"Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa, tetapi melihat seekor lembu berada dalam keadaan diam seolah-olah trauma dan berasa agak pelik.
"Saya kemudian melakukan pemerhatian lanjut sebelum ternampak dua lagi lembu sudah terbaring dan ada kesan seperti serangan haiwan dan saya pasti ia adalah harimau belang.
"Berikutan itu, saya segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum mereka tiba untuk membuat pemeriksaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Menurutnya, empat lembu yang turut diserang masih hidup tetapi tidak dapat diselamatkan dan terpaksa disembelih.
Katanya, dia juga terpaksa memindahkan baki tujuh ekor lagi lembunya ke kandang lain sementara perangkap selesai dipasang, hari ini.
"Di kandang sementara ini, saya pasang lampu dan buat unggun api serta memasang radio dengan kuat bagi mengelakkan harimau mendekati kawasan itu.
"Saya dimaklumkan oleh Perhilitan bahawa serangan itu membabitkan sekumpulan harimau belang dipercayai tiga beranak yang merayau mencari makanan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ng-baham-enam-lembu |
|