|
Orang ramai memilih ikan di pasar Chabang Tiga, di sini. - Foto NSTP/BAHAROM BAKAR
KUALA TERENGGANU: Harga ikan basah tempatan di beberapa pasar di negeri ini menunjukkan penurunan, walaupun sebahagian nelayan tidak turun ke laut sepanjang Ramadan.
Tinjauan di pasar Chabang Tiga, di sini, mendapati harga ikan basah tempatan turun antara RM1 dan RM2 sekilogram.
Bagaimanapun, berlaku sedikit kenaikan harga ikan merah dan tenggiri kerana bekalan diperoleh dari luar negeri ini.
Ikan selayang dijual pada harga RM14 dan RM16 sekilogram, berbanding antara RM16 dan RM18 sebelum Ramadan.
Harga ikan kembung juga turun sebanyak RM2 sekilogram iaitu RM22, berbanding antara RM24 dan RM28 sebelum ini.
Seorang peniaga ikan, Roslan Mustafa, 48, berkata kebanyakan bekalan pelbagai jenis ikan diperoleh daripada nelayan tempatan, termasuk nelayan pantai.
Katanya, ikan cencaru dijual pada harga RM14 sekilogram berbanding RM16 sebelum ini, ikan tongkol RM16 (RM17 dan RM18), selar RM20 (RM22), bawal tempatan RM36, berbanding RM38 sekilogram, manakala bawal sejuk beku dijual pada RM28 (RM30).
"Harga sotong pula dijual pada harga RM42 sekilogram, manakala udang galah RM40 sekilogram dan udang putih RM80 sekilogram," katanya.
Seorang peniaga, Rahmat Salleh, 28, berkata bekalan ikan, terutama ikan tongkol mencukupi sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri.
"Walaupun ada antara nelayan tempatan, terutama nelayan pukat jerut tidak turun ke laut sepanjang Ramadan, bekalan ikan masih mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.
"Jika bekalan ikan tempatan tidak mencukupi, pembekal mempunyai alternatif lain iaitu mendapatkan bekalan dari beberapa negeri, termasuk Kedah, Perlis dan Perak," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... ukup-harga-tak-naik |
|