CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2620|Reply: 0

Melaram barang kemas

[Copy link]
Post time 29-3-2023 10:59 AM | Show all posts |Read mode
Melaram barang kemas


NURUL Atikah melihat pemakaian aksesori kini sebagai trend dan pelengkap gaya.


Sebut saja persiapan raya tidak hanya busana baru, malah aksesori terutama barangan kemas antara perhiasan diri yang kerap digayakan wanita.

Budaya melaram dengan mengenakan barangan kemas seakan-akan sudah menjadi kelaziman apatah lagi dalam kalangan masyarakat Melayu sejak dahulu.

Malah, mengenakan barangan kemas ini juga suatu ketika dahulu menjadi simbol status atau kedudukan seseorang dalam masyarakat sama ada golongan bangsawan atau marhaen.

Kini mengenakan barangan kemas atau perhiasan didorong oleh trend selain menjadi keperluan untuk menonjolkan personaliti individu.

Menurut Perunding Imej Profesional Bertauliah, Nurul Atikah Noor Halim, 35, dalam keterujaan untuk bergaya sempena perayaan dengan mengenakan barangan kemas, ada beberapa perkara perlu diteliti supaya tidak dilihat keterlaluan dan janggal.

"Peranan barangan kemas adalah pelengkap kepada penampilan dan tidak semestinya mengenakan rekaan yang besar dan sarat membantu memberi gaya menarik kepada pemakai.

"Sejak kebelakangan ini aksesori terutama rekaan barangan kemas berasaskan emas menyaksikan 'kegilaan' peminat aksesori itu kepada rekaan besar dan sarat.

"Walaupun untuk ditampilkan ketika musim perayaan, pandangan peribadi saya memilih barangan kemas masih perlu mengikut panduan pemakaian yang wajar iaitu 'less is more' (kurang lebih baik) dengan kerlipan seadanya tanpa menenggelamkan imej pemakai," katanya.

Menjelaskan perbezaan dengan konteks hari biasa dan perayaan, kata Nurul Atikah, wanita boleh mengenakan barangan kemas lebih daripada kebiasaan. Tetapi, penggayaan aksesori masih perlu mengikut kesesuaian personaliti dan karakter mereka.

"Kesilapan ramai wanita apabila memilih aksesori atau barangan kemas, mereka terdorong memilih sesuatu yang besar dan sarat.

"Termasuk pilihan barangan kemas digayakan untuk anak mereka yang masih kanak-kanak atau sunti. Pilihan barangan kemas saiz tebal dan besar membuatkan kanak-kanak itu tampak berusia.

"Begitu juga pemakai menggayakan sesuatu barangan kemas yang tidak sepadan dengan personaliti membuatkan imejnya janggal.

"Untuk suatu keadaan jika menggayakan barangan kemas terlalu 'sarat' dan banyak, boleh memberi gambaran yang tidak sesuai kepada orang lain iaitu dianggap ingin menunjuk-nunjuk," katanya.

Sedangkan kehadiran Ramadan dan Aidilfitri adalah hari kemuliaan untuk meraikan silaturahim dan saling bermaaf-maafan.

Tip penting dikongsi perunding imej itu juga baik membeli atau memilih aksesori adalah sesuatu yang seimbang dan sesuai dengan bentuk badan atau wajah selain mengambil kira karakter individu.

"Pemakaian aksesori perlu seimbang dan tidak kira batu permata atau emas, individu itu boleh membuat penilaian dengan ukuran tiga jari mereka.

"Andai mereka mengenakan lebih daripada tiga jari bermakna aksesori dikenakan terlalu sarat. Begitu juga untuk peraturan atau urutan aksesori yang mana jika mengenakan gelang dan jam tangan, elak mengenakan pada tangan yang sama.

"Panduan lain boleh digunakan untuk membuat penilaian sepadan atau tidak adalah dengan memilih sesuatu kontra dengan bentuk wajah atau bentuk tubuh.

"Sebagai contoh jika pemakai memiliki wajah yang bulat atau bujur, pilih aksesori lebih bersegi atau berpetak. Contoh anting-anting bentuk empat segi. Ini mencipta keseimbangan pada penampilan mereka," katanya.

Panduan lain, kata Nurul Atikah, pemakai aksesori boleh sesuaikan pemakaian mengikut busana digayakan mereka.

"Kalau mengenakan kebaya atau kebarung, kerongsang atau dokoh boleh memberi suntikan lebih unik pada pilihan gaya klasik.

"Begitu juga pemilihan aksesori dengan batu permata seperti nilam atau zamrud, masih boleh digayakan mengikut penampilan atau busana yang senada.

"Mungkin juga peminat aksesori mahu gaya lebih kasual seperti mengunjungi rumah rakan, aksesori lebih polos atau ringkas lebih sesuai," katanya.


Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/2023/03/950744/melaram-barang-kemas

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-11-2024 10:22 PM GMT+8 , Processed in 0.071837 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list