|
ANGGOTA bomba dan Penyelamat mengusung mayat mangsa kebakaran untuk diserahkan kepada pihak polis di Kampung Parit Haji Elias, Ayer Baloi, Pontian.
PONTIAN: Seorang wanita kurang upaya ditemukan rentung dalam sebuah bilik di rumahnya di Kampung Parit Haji Elias, Ayer Baloi, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib, mangsa, Fauzianah Mad Ismail, 48, melecur pada bahagian badan.
Pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai mengenai kebakaran itu yang dipercayai bermula dari bahagian dapur rumah berkenaan.
“Namun, punca kejadian masih disiasat oleh Bahagian Forensik, Balai Bomba dan Penyelamat Pontian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mohammad Shofee berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya dan menasihatkan orang ramai yang mempunyai ahli keluarga OKU tidak meninggalkan mereka bersendirian di rumah.
Sementara itu, Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Pontian, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abd. Jalil memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.27 tengah hari dan seramai 23 anggota bersama sebuah jentera FRT dan satu jentera FRV dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Terdapat seorang mangsa wanita OKU di dalam bilik tidur yang telah meninggal dunia ketika ditemui,” katanya.
Sementara itu, adik mangsa, Nurul Ashikin, 40, berkata, kakak sulung daripada lapan beradik itu tinggal bersama emak, seorang adik lelaki dan anak saudara yang berusia 16 tahun.
Ketika kejadian, emak dan adiknya pergi ke pasar pada pukul 10 pagi, manakala anak saudaranya ke sekolah dan meninggalkan arwah bersendirian di dalam biliknya.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Haji Abdul Karim, Ayer Baloi, petang tadi. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita ... -ibu-adik-ke-pasar/ |
|