|
AZWAR menunjukkan menu botok-botok udang galah yang disajikan di restorannya di Taman Orkid, Tampoi, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU – Kedatangan Ramadan kali ini memberikan idea buat dua beradik untuk menyajikan juadah yang terkenal di Johor iaitu botok-botok menggunakan udang galah dan sesungut sotong gergasi.
Azwar Azmi, 28, berkata, dia dan abangnya, Amirul, 30, mahukan kelainan bagi hidangan berbuka puasa di Restoran Botok-Botok Ibunda di sini yang diusahakan sejak tiga tahun lalu.
Menurut Azwar, botok-botok yang merupakan makanan orang Jawa menggunakan rempah ratus, daun herba serta ulam itu menggunakan resipi turun-temurun daripada nenek moyangnya.
“Untuk membuat pes, kami menggunakan rempah kari yang dikisar halus bersama daun selasih, kesum, kunyit, limau dan turi. Bagi perapan bungkusan pula, kami guna daun pisang yang dibalut bersama daun mengkudu, semangkuk, betik, kaduk, pucuk ubi serta pucuk daun teh,” katanya ketika ditemui di Taman Orkid, Tampoi di sini semalam.
Azwar memberitahu, selepas dibungkus, botok-botok udang galah itu akan dikukus selama 40 minit hingga satu jam bagi memastikan ia masak sekata. Botok-botok boleh dimakan bersama nasi dan lauk-pauk lain.
Pelanggan boleh memilih botok-botok ikan merah, tenggiri, pari, kembung, telur ikan, ayam dan sotong, namun Ramadan tahun ini, premis itu menyajikan menu premium, botok-botok udang galah dan sesungut sotong gergasi.
Harganya botok-botok itu ialah RM15 sehingga RM48 untuk satu set.
https://www.kosmo.com.my/2023/03 ... adah-popular-johor/ |
|