|
Shah Alam: Polis menahan sembilan individu dipercayai melakukan khianat dengan menyimbah cat, merantai pagar dan menampal notis ugutan terhadap mangsa yang gagal membayar pinjaman wang tanpa lesen atau along menerusi serbuan bermula Isnin hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata kesemua individu termasuk dua wanita berusia 21 hingga 41 tahun itu ditahan menerusi serbuan di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Februari lalu dan mereka mendapat upah antara RM300 hingga RM450 bagi setiap kerja khianat yang dilakukan bagi pihak along.
Katanya, sindiket berkenaan bermula dengan seorang lelaki berusia 41 iaitu dalang yang pada awalnya ingin membuat pinjaman wang tanpa lesen.
"Suspek bagaimanapun tidak diberikan pinjaman sebaliknya ditawarkan upah oleh along untuk melakukan ugutan dengan menampal notis, mengunci rumah dan menyimbah cat merah kepada rumah peminjam lain yang gagal membuat pembayaran.
"Upah akan dibayarkan secara deposit tunai ke akaun dalang sindiket dan setakat ini kita mengesan 80 transaksi sudah dilakukan membabitkan jumlah keseluruhan sekitar RM25,000.
"Daripada keseluruhan transaksi itu, 26 dikesan di Shah Alam dan kita percaya mereka turut aktif di beberapa daerah lain di Selangor dan sekitar Kuala Lumpur," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, ahli sindiket akan merakam kerja khianat yang dilakukan seterusnya menghantar kepada along menerusi WhatsApp sebagai bukti sebelum pembayaran dilakukan.
"Kita percaya ahli sindiket juga tidak pernah berjumpa dengan along yang mengupah mereka kerana transaksi serta arahan kerja dilakukan secara atas talian," katanya.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal ujian air kencing mendapati enam suspek lelaki positif dadah jenis Methamphetamine.
Katanya, kesemua suspek direman empat hari sehingga Jumaat dan polis masih giat mengesan along yang terbabit dengan sindiket berkenaan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... upah-daripada-along |
|