|
SERAMAI 18 orang penagih dadah ditangkap hasil serbuan ke atas sebuah pondok di dalam kebun getah yang dijadikan sarang penagihan dadah di Felda Jelai 4, Gemas, Tampin, semalam.
TAMPIN: Seramai 18 orang penagih termasuk dua orang tokan (pengedar) dadah di Felda Jelai 4, Gemas, di sini, ditangkap polis semalam dalam serbuan sebuah pondok di dalam sebuah kebun getah yang dijadikan sarang penagihan dadah.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira pukul 8 pagi hingga 2 petang, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin telah membuat serbuan di lokasi berkenaan.
“Polis telah menahan seramai 18 orang lelaki berusia lingkungan 23 hingga 55 tahun. Hasil pemeriksaan telah menjumpai dan merampas enam peket dadah jenis heroin dengan anggaran berat 301 gram dan empat peket plastik mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 51.25 gram.
“Hasil ujian saringan awal polis ke atas kesemua suspek mendapati positif morfin dan methamphetamine. Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan mencecah RM10,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ujar Anuwal lagi, susulan serbuan tersebut, polis telah berjaya memutuskan rangkaian bekalan dadah kepada penagih di sekitar kawasan Felda Jelai, Gemas.
“Kesemua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama empat hingga tujuh hari. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.-UTUSAN.
https://www.utusan.com.my/berita ... ih-dadah-ditangkap/ |
|