|
Sheikh Hamazon ketika menunggu jenazah isterinya di Unit Forensik Hospital Pekan. Foto Khairulmizan Yahya
Pekan: "Sejak seminggu dua ini, dia suka peluk saya sebelum pergi kerja. Saya ingatkan (sebab) faktor usia dia jadi lebih manja, tetapi rupanya petanda dia akan pergi tinggalkan saya selamanya."
Begitu kata Sheikh Hamazon Sheikh Hasnan, 54, suami kepada Pembantu Perangkaan, Jabatan Perangkaan Pahang Ruzana Mohamad Agin, 50, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 55, Jalan Pekan-Rompin dekat Nenasi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 8.46 pagi itu, rakan sekerja Ruzana, Suhaizan Abdullah, 41, turut terbunuh selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas lalu berlanggar dengan sebuah treler.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan melaksanakan tugas di Rompin.
Sheikh Hamazon berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira 9 pagi tadi selepas menerima panggilan telefon daripada ketua kampung.
"Ketua kampung memaklumkan ibu mentua saya terbabit dalam kemalangan sedangkan dia ada di rumah.
"Ketika itu saya sudah boleh agak sebenarnya isteri yang terbabit dalam kemalangan kerana dia yang pegang kad pengenalan ibunya.
"Saya bergegas ke lokasi kejadian tetapi dimaklumkan jenazah isteri sudah dibawa ke Hospital Pekan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan, di sini.
Menceritakan mengenai isterinya, Sheikh Hamazon berkata, Ruzana yang juga ibu kepada empat anak berusia 13 hingga 30 tahun adalah seorang yang tidak banyak cakap selain lemah lembut, namun tegas.
"Tetapi dia seorang yang sangat komited dengan kerjanya, dan sering kerja luar kawasan sama ada bersendirian atau dengan rakan sekerja.
"Kerana dia sering bekerja luar kawasan dan kadang-kadang memandu bersendirian, saya selalu pesan supaya berhati-hati. Bagaimanapun, saya reda dengan kejadian ini," katanya.
Selain itu katanya, dia berjanji pada dirinya akan terus menjaga ibu mentuanya, Jemilah Awang Ngah, 74, seperti ketika arwah isterinya masih ada, malah sudah menganggap wanita itu seperti ibu kandungnya.
Katanya, jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu, di sini, selewat-lewatnya malam ini selepas semua prosedur selesai.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... pemergian-selamanya |
|