View: 185|Reply: 0
|
[Johor]
Kontraktor perabot dilepaskan, bebas tuduhan edar dadah
[Copy link]
|
|
SHEE KAY (tengah) dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor Bahru, hari ini.
JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor terlepas hukuman gantung mandatori selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan lelaki itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah heroin seberat 7.8 kilogram (kg), lima tahun lalu.
Wong Shee Kay, 53, yang merupakan kontraktor perabot dan renovasi itu turut dilepas dan dibebaskan daripada satu pertuduhan lain iaitu memiliki dadah jenis ketamin seberat 19.4 kg, pada tarikh dan lokasi sama.
Hakim Noor Hayati Mat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pertuduhan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Berdasarkan hasil penilaian daripada semua keterangan yang dikemukakan di mahkamah, tiada bukti atau fakta relevan untuk mengaitkan tertuduh dengan dadah yang ditemui.
“Dadah terbabit ditemukan dalam bonet Toyota Camry milik kakak tertuduh dan walaupun tertuduh mempunyai kunci serta alat kawalan jauh, namun ia tidak boleh digunakan untuk membuka bonet kereta itu.
“Bonet itu perlu diumpil dan tertuduh juga bukan pemilik kereta atau kediaman berkenaan. Jarak antara kereta ditemui dan tertuduh ditahan juga agak jauh dan memakan masa hampir 30 minit perjalanan. Tiada keterangan yang menunjukkan tertuduh berada di Jalan Saga 16 iaitu tempat kereta ditemui di hadapan sebuah rumah.
“Selepas meneliti nota prosiding yang dihujahkan kedua-dua pihak, secara maksimum mahkamah berpendapat bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, mahkamah membuat keputusan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” hujahnya.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Shee Kay didakwa telah mengedar dadah jenis heroin seberat 7.8 kg di Jalan Saga 16, Taman Desa Cemerlang di sini pada pukul 3.30 pagi, 30 Oktober 2018.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki dadah jenis ketamin seberat 19.4 kg di lokasi dan waktu yang sama.
Atas kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nasrudin Mohamed, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Daud Ismail dan Hang Lee Ying.-KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/04 ... tuduhan-edar-dadah/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|