Percakapan dua individu dirakam bagi membantu siasatan polis berhubung kes anggotanya yang didakwa memeras ugut wanita berasal dari China kerana gagal menunjukkan pasport ketika sekatan jalan raya di Bulatan Dato Onn, minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, kertas siasatan tersebut telah dilengkapkan dan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut.
Tangkap layar video tular membabitkan pelancong warga China yang mendakwa dirinya diperas ugut anggota penguat kuasa minggu lalu.
“Kita telah memanggil pemandu e-hailing serta penumpangnya warga tempatan yang merupakan rakan kepada pelancong wanita terbabit.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan seterusnya sudah dirujuk kepada TPR semalam. Kita akan menunggu arahan lanjut pejabat TPR untuk tindakan seterusnya dalam kes ini,” katanya ketika sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Pemanduan Berhemah dan Rumah Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 di Ibu Pejabat Kontinjen, di sini, petang tadi.
Terdahulu, tular video seorang wanita sedang mengulas isu berkenaan dalam bahasa Cina bersama sedikit rakaman kejadian yang dimuat naik di TikTok @cs_kuan.
Berdasarkan kapsyen video, anggota polis terbabit didakwa memeras ugut sebanyak RM200 daripada seorang wanita berasal dari China ekoran gagal menunjukkan pasportnya kerana tertinggal di hotel.
“Setakat ini, seramai tujuh individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” ujarnya.
Sumber: KOSMO! ONLINE |