|
Putrajaya: Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 26.2 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-15 (ME 15/2023) iaitu dari 9 hingga 15 April, berbanding minggu sebelumnya.
Kementerian Kesihatan (KKM), berkata majoriti pesakit yang dimasukkan ke hospital adalah golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu dengan komorbid.
"Namun peningkatan ini tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dan hospital masih beroperasi seperti biasa.
"Dari 1 Januari hingga 15 April lalu, kadar kes kematian (Case Fatality Rate - CFR) Covid-19 dilaporkan adalah 0.3 peratus berbanding gelombang Delta dengan CFR yang tinggi iaitu sebanyak 2.1 peratus.
"Sebanyak 80.7 peratus membabitkan pesakit berusia 60 tahun dan ke atas, manakala 82.6 peratus adalah dalam kalangan individu dengan komorbid," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu KKM memaklumkan, kematian pesakit yang tidak pernah divaksinasi adalah enam kali lebih tinggi berbanding pesakit yang mendapat satu dos penggalak.
"Berdasarkan data 2023, sehingga 17 April, hanya 50 peratus (16,327,196) penduduk Malaysia telah menerima dos penggalak pertama dan 2.5 peratus (819,150) sahaja telah menerima dos penggalak kedua.
"Risiko kemasukan ke hospital dan keterukan gejala boleh dikurangkan dengan
pengambilan dos penggalak.
"Justeru, orang ramai terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi disarankan untuk mendapatkan dos penggalak disebabkan berlaku penurunan imuniti (waning immunity) dalam tempoh tiga hingga enam bulan daripada dos terakhir," katanya.
Selain itu KKM menasihatkan rakyat yang akan menyambut Syawal tidak lama lagi, meskipun berada dalam Fasa Peralihan Covid-19, perlu diingatkan jangkitan Covid-19 masih dilaporkan dalam kalangan komuniti dan usaha mengawal penularan perlu diteruskan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -hospital-meningkat |
|