View: 224|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Afiqah hidap scoliosis perlu RM5,000 beli pendakap tulang belakang
[Copy link]
|
|
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/DANA_KEMANUSIAN_MEDIA_PRIMA_afiqah_1681971259.jpg)
Afiqah Amani (kanan) mendengar penerangan mengenai pendakap 3D Scoliosis oleh Eksekutif Jualan Perubatan, Norhashimah Ismail (duduk) sambil diperhatikan ibu Afiqah, Zarina Yahya di Pusat Perubatan Teh Lin Prostetik dan Ortopedik. Afiqah yang sudah kehilangan bapa perlukan sumbangan RM5,000 membeli alat berkenaan. - Foto NSTP/Amirudin Sahib
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Afiqah Amani Mohamad Haziq memerlukan bantuan RM5,000 bagi membolehkannya memakai pendakap tulang belakang akibat penyakit scoliosis yang dihadapinya.
Menurut ibunya, Zarina Yahya, 36, masalah tulang belakang Afiqah dikesan pada penghujung 2021 ketika anaknya solat.
"Pada awalnya, saya sangka dia mengalami kecederaan ataupun ada terjatuh yang menyebabkan bahagian tulang belakangnya bengkak ataupun lebam. Lama-kelamaan saya melihatkan keadaannya semakin teruk.
"Pemeriksaan pertama dilakukan pada awal 2022. Ayahnya membawa Afiqah ke Hospital Tanjung Karang. Anak saya kemudian dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut dan juga rawatan susulan sebelum disahkan menghidap scoliosis ," katanya kepada BH dalam temu bual secara dalam talian, hari ini.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/DANA_KEMANUSIAAN_MEDIA_PRIMA_tulakang_1681971263.jpg)
Afiqah Amani yang menghidap scoliosis ditemani ibunya Zarina Yahya. Ibu tunggal itu berharap sumbangan RM5,000 untuk beli pendakap 3D Scoliosis untuk anaknya. - Foto NSTP/Amuridin Sahib
Mengulas lanjut, Zarina berkata pada peringkat awal tiada simptom yang ditunjukkan oleh anaknya selain daripada tulang belakangnya semakin bengkok dan ada bonggol yang mula timbul pada bahagian belakangnya.
"Disebabkan scoliosis ini, Afiqah tidak boleh membawa beban berat. Walaupun bilik darjah Afiqah di sekolah di tingkat dua, dia tidak mampu mengalas begnya sebaliknya terpaksa memegang buku sahaja untuk dibawa ke bilik darjah.
"Dahulu kesan penyakit ini hanya dapat dilihat secara fizikal tetapi kini Afiqah mula mengalami kesan sampingan daripadanya. Dia beritahu sering rasa sakit seolah-olah ada benda yang mencucuk. Apabila makan pula, kadang kala dia akan muntah," katanya.
Zarina kini bekerja di restoran berhampiran rumah sahaja selepas kematian suami pada tahun lalu.
"Sebagai seorang ibu tunggal yang hanya memperoleh pendapatan RM800 ke RM900 sebulan sahaja, saya tidak mampu untuk membiayai kos pendakap tulang belakang ini. Setiap ibu pasti mahu melihat anaknya sempurna seperti kanak-kanak lain, sekiranya suami saya masih ada pasti dia mahukan perkara yang sama," katanya.
Scoliosis yang dihadapi Afiqah ini berada pada tahap berisiko apabila tulang belakangnya bengkok pada 46 darjah. Biasanya individu mempunyai tulang belakang bengkok 20 darjah sahaja.
Dengan bantuan pendakap ini pembedahan dapat dielakkan. Sekiranya Afiqah tidak mendapatkan pendakap ini dengan segera, keadaan beliau akan menjadi lebih teruk.
Orang ramai yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dan menulis nama pesakit di belakang cek.
Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat 4, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Bank Muamalat bernombor 14010008842718 atau Maybank bernombor 514105323170. Nyatakan nama pesakit pada bahagian rujukan penerima atau butiran pembayaran lain. Semua sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP, layak mendapat pelepasan cukai.
https://www.bharian.com.my/berit ... kap-tulang-belakang |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|