|
HAALAND (dua dari kiri) memberikan bola kepada Gundogan untuk mengambil sepakan penalti. FOTO Reuters
Manchester: Keengganan mesin gol Manchester City, Erling Haaland untuk mengambil sepakan penalti jelas menimbulkan kemarahan buat Pep Guardiola.
Pemain antarabangsa Norway itu tidak mempedulikan arahan pengurus City untuk mengambil sepakan penalti dan menyerahkan bola kepada rakan sepasukannya, Ilkay Gundogan.
Selepas pemain tengah itu menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama untuk meletakkan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) mendahului 2-0 ke atas Leeds United, Guardiola menjerit dari tepi padang menyuruh Haaland mengambil sepakan penalti yang dihadiahkan di hujung saingan.
Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun yang sekarang ini sudah meledak 35 gol EPL, menggelengkan kepada kepada Guardiola sebelum menyerahkan bola kepada Gundogan jadi membolehkan pemain antarabangsa Jerman itu melengkapkan hatrik.
Ia membuatkan pengendali berasal dari Sepanyol itu berang, terutama sekali selepas sepakan Gundogan berjaya ditepis keluar Jole Robles.
"Jika Gundo menjaringkan gol tidak mengapa, dia melengkapkan hatrik, tahniah," kata Guardiola selepas City mencatat kemenangan 2-1.
"Bagaimanapun, seorang pengambil sepakan penalti, harus mengambilnya. Pada kedudukan 2-0, tugas masih belum selesai, bukan situasi yang kita tidak boleh lupakan."
Gundogan yang berusia 32 tahun merasai bahang kemarahan Guardiola apabila dia tampil mengambil sepakan itu.
"Pertama sekali beliau menunjukkan kemarahan kepada Erling dan selepas itu saya pula," kata Gundogan kepada BBC Sport.
"Ketika Erling memegang bola, saya yakin dia akan mengambilnya namun dia memberikan kepada saya. Saya bertanyakan kepadanya beberapa kali untuk mengesahkannya. Dia memang menyerahkan bola kepada saya. Saya yakin untuk menyempurnakannya."
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... d-tak-ambil-penalti |
|